Anggota polis ditahan dipercayai ugut ibu dengan pisau, tukul besi


Seorang anggota polis ditahan selepas dipercayai mengugut ibunya dengan pisau dan tukul besi serta menakutkan dengan api dalam kejadian di Felda Semenchu, dekat Kota Tinggi, Jumaat lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi DSP Nik Azaham Nik Aziz berkata lelaki berpangkat Lans Koperal berumur 29 tahun itu ditahan pada 2.30 pagi selepas abangnya membuat laporan polis berkaitan ugutan terbabit, kira-kira dua jam sebelum itu.

“Pengadu (abang) memberitahu adiknya (anggota polis) turut meminta duit dari emaknya. Pengadu merasakan keadaan emaknya terancam dan tidak selamat lalu membuat laporan polis.

"Bertindak atas laporan terbabit, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Teluk Sengat, Kota Tinggi telah pergi ke tempat kejadian dan suspek berjaya ditahan selain barang kes iaitu sebilah pisau dan satu tukul besi turut dirampas," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Nik Azaham berkata anggota polis terbabit berkhidmat di Cawangan Tugas Am Balai Polis Cherang Ruku, Pasir Putih, Kelantan sejak Jun 2012 dan dia kini sedang dalam tempoh bercuti mulai 7 Mei lepas hingga 30 Mei ini.

Beliau berkata anggota polis berkenan sudah bercerai dan mempunyai dua orang selain mempunyai rekod lampau mengikut Akta 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya dia kini direman mulai 24 Mei hingga 30 Mei ini untuk siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan jenayah. - BERNAMA

Powered by Blogger.