Alam semula jadi aset ekopelancongan


Malaysia mempunyai banyak aset alam semula jadi yang menarik seperti air terjun, sungai yang jernih, pantai yang bersih, hutan yang hijau dan hidupan liar yang menarik. Aset ini menjadi destinasi atau tumpuan pelancong yang amat mengujakan.

Malah, dalam promosi melawat Malaysia pun menggunakan hidupan liar seperti orang utan, monyet Belanda dan penyu termasuk pantai dan pemandangan semula jadi yang indah dan bersih sebagai tarikan. Keindahan alam sekitar di Langkawi misalnya berjaya menarik minat pelancong datang ke Malaysia.

Langkawi yang terkenal sebagai geopark bertaraf dunia mempamerkan struktur geologi yang menarik dan ekosistem hutan bakau dengan kepelbagaian flora dan fauna berjaya meningkatkan bilangan pelancong daripada 3.06 juta pada 2012 kepada 3.62 juta tahun lalu dengan pendapatan meningkat daripada RM2.6 bilion kepada RM5.8 bilion.

Sabah dan Sarawak lebih mendominasi destinasi berasaskan alam semula jadi. Lembah Danum di Sabah dikatakan tempat terbaik untuk menikmati keindahan dan kehijauan hutan tropika. Sebagai contoh, menyaksikan orang utan dan hidupan liar lain dalam habitat semula jadi mereka manakala Pulau Sipadan pula menawarkan tempat terbaik bagi penyelam skuba dan santuari bagi lebih 3,000 spesies ikan dan ratusan spesies karang. Bagi penggemar hidupan liar, mereka boleh menyaksikan monyet Belanda, buaya, gajah dan orang utan dalam habitat di Sungai Kinabatangan.

Mendaki Gunung Kinabalu, puncak tertinggi di Asia Tenggara juga menjadi tarikan pendaki gunung. Kepelbagaian biologinya menjadikan ia satu lagi Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). Sarawak pula menawarkan Taman Negara Mulu yang sudah terkenal sebagai Tapak Warisan Dunia.

Turut ditawarkan pengalaman bersama masyarakat Orang Ulu meneroka hutan tanah tinggi di Bario dan Tanah Tinggi Kelabit.

Di Semenanjung pula, beberapa tarikan yang menonjol adalah Pulau Perhentian di Terengganu yang mempunyai hutan dara dan pantainya yang bersih dengan air yang jernih sesuai untuk aktiviti snorkeling.

Pulau yang terletak kira-kira 20 kilometer dari pantai Terengganu itu menjadi pilihan percutian murah yang popular.

Taman Negara Pahang yang sudah lama terkenal sebagai hutan tropika tua dan kepelbagaian hidupan liar juga menarik pelancong untuk merentas hutan dan berkhemah. Mendaki Gunung Tahan juga antara aktiviti yang menarik pelancong.

Kuala Lumpur sebagai ibu negara memang sebagai tumpuan pelancong antarabangsa sebelum mereka ke tempat lain bagi menikmati kehidupan bandar yang mempunyai kepelbagaian budaya, makanan dan keharmonian masyarakat termasuk membeli belah. Begitu juga bandar bersejarah Georgetown yang sudah terkenal dengan kepelbagaian budaya, makanan, keindahan pantai dan teknologi terkini menjadi destinasi pelancongan. Malaysia pernah disebut sebagai negara yang mempunyai kemudahan kelas pertama, tetapi ada rakyatnya yang masih mempunyai mentaliti kelas ketiga. Isu membuang sampah merata-rata, tidak menguruskan sampah dengan baik, tidak merancang pembangunan dengan baik dan tidak menggunakan kemudahan awam yang disediakan antara perkara yang masih dibincangkan. Malah baru-baru ini dilaporkan 60 peratus rakyat Malaysia masih `belum mampu’ membuang sampah dengan betul ke dalam tong sampah.

Kos menguruskan sampah meningkat dengan peningkatan penduduk.

Kawalan sampah sarap sangat penting kerana sekiranya tidak diuruskan dengan baik, sampah akan mencemari laut dan pantai. Sampah yang berada di lautan dan pantai berpunca dari daratan. Ada pendapat mengatakan sampah tersebut datangnya dari pulau-pulau, tetapi sebenarnya sebahagian besar datang dari sungai dan parit yang akhirnya sampai ke laut. Ombak akan membawa balik sampah-sampah ini ke pantai.

Antara sisa pepejal yang paling kerap ditemukan adalah plastik. Penggunaan plastik dalam industri makanan dan di pusat beli belah telah menyebabkan pertambahan sampah plastik. Plastik mengambil masa di antara 10 hingga 1,000 tahun untuk reput.

Oleh itu, cadangan pengurangan penggunaan plastik dapat mengurangkan sisa pepejal. Penggunaan plastik boleh diganti dengan bakul atau beg kertas. Pengurangan penggunaan plastik juga dapat mengurangkan penggunaan petroleum.

Walaupun ada negeri yang tidak membenarkan penggunaan beg plastik bermula 2017, namun kesedaran dan amalan pengguna masih pada tahap rendah kerana mereka sanggup membayar 20 sen untuk satu beg plastik pakai buang.

Agensi berita Reuters melaporkan Thailand telah menguatkuasakan peraturan mengharamkan rokok dan membuang puntung rokok serta membuang sampah di 24 lokasi pantai popularnya.

Thailand mempunyai 357 pantai yang menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia sejak 1990-an lagi yang datang secara berjadual.

Pada tahun lalu, Thailand menganggarkan kedatangan 37.55 juta pelancong dan sudah tentu akan memberikan kesan kepada kualiti alam sekitarnya. Langkah tersebut penting kerana sampah di pantai yang masuk ke laut akan hanyut dibawa ombak dan ia boleh juga sampai ke Malaysia.

Sampah plastik, sisa industri dan minyak antara pencemaran yang dikenal pasti penting diberikan perhatian. Pencemaran bahan ini membantutkan pembiakan dan pertumbuhan hidupan marin. Pencemaran bahan berasaskan plastik sejak 1940-an menjadi semakin meruncing.

Sudah banyak laporan hidupan laut mati tercekik atau keracunan oleh bahan plastik.

Sebanyak 30,000 hidupan marin seperti burung laut, penyu dan ikan paus mati akibat tersalah makan bahan berasaskan plastik termasuk tali-tali pancing.

Dianggarkan 77 tan metrik sampah berasaskan plastik dibuang setiap tahun oleh aktiviti perkapalan. - UTUSAN
Powered by Blogger.