MIMOS bangunkan prototaip peranti mudah alih kesan Alzheimer
Agensi penyelidikan dan pembangunan (R&D) negara, MIMOS Berhad berjaya membangunkan prototaip peranti pengimejan otak dikenali ‘Alzheimer Headband’ yang menggunakan teknologi fotonik untuk pengesanan awal penyakit Alzheimer.
Ketua Pegawai Teknologinya Thillai Raj berkata Alzheimer Headband yang mudah dibawa, fleksibel, mudah digunakan serta berkos rendah, berpotensi digunakan sebagai alternatif kepada Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) untuk pemeriksaan awal penyakit Ketidakmampuan Kognitif Rendah (MCI) dan Alzheimer.
Alzheimer Headband yang boleh melakukan analisis aliran darah pada otak, memberikan analisis lebih tepat berbanding piawaian biasa menggunakan soal selidik, katanya dalam kenyataan hari ini.
Ini kerana katanya peranti itu menggunakan spektroskopi hampir infra merah fungsian (fNIRS) sebagai teknologi teras yang dapat mengukur tahap penyakit Alzheimer untuk mengklasifikasikan tahap atau kategori dementia.
Menurutnya MIMOS juga telah menjalankan kajian klinikal awal membabitkan warga emas daripada Rumah Seri Kenangan di Cheras selain bekerjasama dengan Universiti Sains Islam Malaysia dalam penggunaan fNIRS untuk pengimejan otak.
Pembangunan Alzheimer Headband ini merupakan kajian tentang Alzheimer berasaskan fNIRS yang pertama di Malaysia dan MIMOS kini mengadakan penyelidikan bersama dengan Artinis Medical Systems dari Belanda mengenai penggunaan fNIRS dalam kajian kognitif sains neuro untuk penyakit Dementia-Alzheimer, katanya.
“MIMOS kini sedang mencari rakan kongsi yang berminat untuk terus membangunkan sistem itu,” katanya.
Penyakit Alzheimer merupakan satu keadaan pesakit mengalami kehilangan ingatan kerana kerosakan sel otak dan keadaan ini sering dikaitkan dengan golongan tua.
Untuk mengesan keluarbiasaan dalam otak, teknik pengimejan seperti MRI, imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) serta electroencephalogram (EEG) merupakan kaedah biasa yang digunakan doktor dan pakar neurologi. - Front Desk
Post a Comment