Keputusan STPM 2018 catat PNGK lebih baik
Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2018 mencatatkan peningkatan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) dengan catatan 2.80, berbanding 2.76 pada 2017.
Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Datuk Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal, berkata pencapaian itu menunjukkan peningkatan memberangsangkan daripada semua kriteria pengukuran ditetapkan, berbanding tahun sebelumnya, malah menyaksikan lonjakan berterusan sejak sistem modular STPM diperkenalkan pada 2013.
Katanya, bilangan calon yang memperoleh PNGK 4.00 daripada keseluruhan 42,849 calon yang menduduki peperiksaan itu bertambah, iaitu daripada 485 calon atau 1.13 peratus pada 2017 kepada 666 calon (1.55 peratus).
“Lebih membanggakan, 489 calon atau 73.42 peratus daripada calon yang memperoleh PNGK 4.00 pada STPM 2018 terdiri daripada golongan B40.
“Bilangan dan peratusan calon yang memperoleh PNGK 3.50 ke atas turut bertambah, iaitu daripada 7,129 calon (16.63 peratus) berbanding 6,408 calon (14.89 peratus) pada 2017,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM 2018 di Palace of The Golden Horses, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin.
Prof Zul Azhar berkata, secara keseluruhan, semua 22 mata pelajaran ditawarkan pada peperiksaan itu mencatatkan peratusan lulus penuh melebihi 70 peratus, iaitu gred C dan ke atas.
Tiga mata pelajaran, katanya, menunjukkan peningkatan melebihi tiga peratus, iaitu Fizik, Biologi dan Teknologi Informasi serta Komunikasi.
Beliau berkata, secara keseluruhan, keputusan STPM 2018 menggalakkan daripada prestasi pencapaian calon dan mata pelajaran dengan jangkaan peluang ke Universiti Awam (UA) adalah lebih ramai.
“Calon kerajaan dan swasta boleh mendapatkan slip keputusan STPM 2018 di sekolah masing-masing bermula jam 12 tengah hari, manakala calon persendirian akan menerima slip keputusan mereka melalui pos.
“Keputusan juga boleh diperoleh melalui portal MPM di www.mpm.edu.my dan sistem pesanan ringkas (SMS) di talian 15888,” katanya. - Berita Harian
Post a Comment