Lelaki ditipu ejen pinjaman wang RM129,000


Seorang peniaga berusia 25 tahun kerugian RM129,000 selepas ditipu individu yang menyamar sebagai ejen pinjaman wang.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim, berkata mangsa dikatakan mahu membuat pinjaman sebanyak RM100,000 daripada suspek yang dikenalinya menerusi Facebook bulan lalu.

"Mangsa menghubungi suspek dan bersetuju membuat bayaran bagi tujuan memproses pinjaman berkenaan.

"Dia membuat 25 transaksi pembayaran sejak 19 Ogos sehingga 11 September lalu," katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu, di sini, hari ini.

Mohd Ismail berkata, mangsa bagaimanapun mula curiga apabila suspek terus memintanya membuat pembayaran dengan jumlah keseluruhan RM129,000.

Susulan itu mangsa membuat laporan di IPD Kubang Pasu semalam. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. - BERITA HARIAN

Powered by Blogger.