Kerajaan, ekonomi, masyarakat komponen tumpuan kembangkan ekonomi digital


Tiga komponen utama iaitu kerajaan, ekonomi dan masyarakat akan menjadi tumpuan kepada Pasukan Petugas Ekonomi Digital Malaysia yang baharu dibentuk, untuk mengembangkan ekonomi digital negara, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

"Di bawah (komponen) kerajaan, kita akan melihat semula soal e-kerajaan, di situlah nanti lahirnya isu besar yang kerajaan harus tampil dengan dasar yang kukuh, contohnya 'cloud policy'.

"Dalam ekonomi, sudah tentulah mengenai e-dagang dan sejauh mana perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sudah melakukan transformasi untuk e-dagang," katanya kepada pemberita semasa lawatan rasmi pertamanya ke Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), di sini hari ini.

Dari segi masyarakat pula, Saifuddin berkata pasukan itu akan melihat soal pendidikan, latihan dan pembangunan bakat termasuk dalam bidang industri kreatif yang bukan sahaja terhad kepada animasi dan "gaming".

Beliau berkata pasukan itu dipengerusikannya secara bersama dengan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin dan siri perbincangan di peringkat pegawai sedang berjalan dengan rancak, manakala mesyuarat pertama akan dijalankan dalam masa terdekat.

Mengenai gerak kerja MDEC, beliau berkata perbadanan itu ketika ini memberi fokus kepada pelaksanaaan program di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) pasca COVID-19.

"Contohnya dalam melatih PKS dan pengusaha kecil termasuk di luar bandar untuk melaksanakan perniagaan secara dalam talian," katanya.

Turut dibincangkan semasa lawatan itu ialah usaha menggalakkan usahawan tempatan terlibat dalam aktiviti perdagangan di peringkat ASEAN, katanya.

"Pasca COVID-19, sebahagian kerja-kerja yang dilaksanakan MDEC itu harus bersifat serantau, khususnya di peringkat ASEAN kerana antara isu yang timbul ialah pasaran Malaysia sahaja terlalu kecil, hanya ada 32 juta penduduk," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Surina Shukri berkata bagi membantu mereka yang kehilangan pekerjaan pasca COVID-19, MDEC akan melancarkan program latihan di bawah inisiatif Global Online Workforce (GLOW) Ogos ini.

Surina berkata melalui GLOW, yang merupakan program di bawah PENJANA, MDEC akan memberi bimbingan dan latihan bagaimana untuk mendapatkan pasaran di luar negara.

"Contohnya seorang penterjemah (translator) boleh buat penterjemahan untuk Amerika Syarikat. MDEC dalam proses membuat persediaan untuk melancarkan latihan ini pada Ogos," katanya.

Surina berkata MDEC juga telah melancarkan program "Let's Learn Digital" di bawah inisiaitf #mydigitalworkforce semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lepas dengan kerjasama platform pembelajaran dalam talian global, Coursera, yang menyediakan 3,000 kursus dalam talian secara percuma.

“Lebih 12,000 peserta telah menyertai kursus berkenaan dengan 75 peratus daripada mereka adalah individu yang baharu kehilangan pekerjaan,” katanya.

-- BERNAMA
Powered by Blogger.