PKPB: 59 pemancing lepas 'gian' di kolam kena kompaun RM1,000PKPB: 59 pemancing lepas 'gian' di kolam kena kompaun RM1,000


Lima puluh sembilan pemancing di sebuah kolam pancing ikan air tawar di Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu, di sini, masing-masing dikompaun RM1,000 semalam kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) .

Yang turut dikenakan tindakan sama adalah dua pekerja kolam terbabit serta dua orang awam selepas sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Daerah Polis Hulu Selangor melakukan serbuan mengejut ke kolam terbabit.

Ketika serbuan, difahamkan hanya dua pekerja dipercayai warga asing yang berada di lokasi menjaga dan menguruskan pemancing di kolam berkenaan yang dikatakan datang dari Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

Seorang pemancing hanya ingin dikenali sebagai Mohamad Amin yang turut dikenakan kompaun RM1,000, berkata dia pada mulanya terkejut apabila mendapati ramai pemancing dibenarkan masuk memancing dalam satu-satu masa.

"Nombor giliran saya adalah yang ke-10 untuk masuk ke kawasan kolam, tetapi belum sempat memancing sudah dikenakan kompaun," katanya sambil menambah, kompaun perlu dijelaskan di Pusat Kesihatan Daerah Hulu Selangor, selewat-lewatnya 8 Jun ini.

Difahamkan, pengurusan kolam itu ada menyediakan nombor giliran dan panduan penjarakan sosial sebelum pemancing masuk, namun melanggar SOP lain apabila lebih 20 pemancing dibenarkan berkumpul di kawasan kolam berkenaan ketika serbuan dilakukan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arshad Kamaruddin ketika dihubungi, mengesahkan polis melakukan serbuan berkenaan, namun enggan mengulas lanjut. - BERITA HARIAN
Powered by Blogger.