Pameran MATTA Cuti-Cuti Malaysia tawar diskaun hebat
Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) buat julung kalinya akan menganjurkan Pameran MATTA Cuti-Cuti Malaysia, sekali gus membantu kerajaan mempromosikan keunikan negara ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.
Pameran selama dua hari pada 4 dan 5 April ini akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini.
Setiausaha Agung MATTA, Nigel Wong berkata, Pameran MATTA Cuti-Cuti Malaysia itu adalah edisi istimewa eksklusif untuk pelancong tempatan melancong di dalam negara sendiri dengan pelbagai promosi hebat ditawarkan.
Katanya, ia adalah peluang terbaik bagi pelancong tempatan untuk menjelajah di seluruh tempat di negara ini terutama dalam situasi kedatangan pelancongan antarabangsa yang berkurangan disebabkan oleh coronavirus (COVID-19).
“Malah, tawaran harga diberikan oleh pelbagai agensi pelancongan termasuk penginapan hotel adalah sangat berbaloi dalam memastikan industri pelancongan tetap berjalan seperti biasa.
“Pada masa sama, kita turut memastikan segala langkah berjaga-jaga yang disaran oleh Kementerian Kesihatan diambil kira, dan apa yang boleh dipastikan negara kita masih selamat untuk melancong.
“Justeru, pada pameran kali ini kita menyasarkan kutipan jualan sebanyak RM40 juta dengan 200 reruai pameran disediakan,” katanya ketika ditemui pada sidang media mengenai Pameran MATTA Cuti-Cuti Malaysia, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Kamaruddin Baharin.
Pada majlis itu turut diadakan perjanjian persefahaman (MoU) antara MAH dan Global Doctors Malaysia (GDM) dalam memastikan segala maklumat kesihatan dapat disampaikan kepada pengunjung yang hadir nanti.
Sementara itu, Kamaruddin berkata, industri pelancongan tempatan turut berdepan dengan impak akibat daripada COVID-190 apabila sehingga Mac ini, kira-kira 157,000 pembatalan tempahan dilakukan yang menelan kerugian kira-kira RM66 juta.
Katanya, kebanyakan tempahan itu adalah dari pasaran China dan juga beberapa negara lain memandangkan kerajaan mereka turut tidak menggalakkan penduduknya melancong ke luar negara ketika ini.
“Justeru, dalam memastikan industri pelancongan berjalan dengan lancar, Pameran MATTA Cuti-Cuti Malaysia adalah yang terbaik untuk pelancong tempatan kali ini kerana diskaun ditawarkan sehingga 50 peratus.
“Namun jangan bimbang, dalam masa yang sama MAH turut mengikut segala nasihat dan langkah berjaga-jaga yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan,” katanya.
Post a Comment