Pantau penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak sepanjang Tahun Baharu Cina


Tahap kesedaran penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS), akan dipantau pihak berkuasa sepanjang operasi keselamatan jalan raya, sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata walaupun tiada tindakan kompaun dikenakan sejak undang-undang itu berkuat kuasa pada 1 Januari, pengguna jalan raya perlu diberikan kesedaran, mengenai kepentingan CRS.

“Pemantauan akan dilakukan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) kerana kita mahu meningkatkan kesedaran.

“Dasar penggunaan CRS hanya akan menjadi efektif, jika pengguna jalan raya mempunyai kesedaran sendiri,” katanya selepas merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Sambutan Tahun Baharu Cina Lebuhraya Pantai Timur (LPT) di Hentian Bentong arah Barat di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Eksekutif Anih Berhad Datuk Nik Fauzi Nik Hussein, Ahli Parlimen Bentong Wong Tack dan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Datuk Dr Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan.

Loke berkata tindakan menguatkuasakan penggunaan CRS pada kenderaan persendirian terpaksa dilakukan, bagi memastikan keselamatan bayi dan kanak-kanak ekoran statistik kematian golongan itu yang membimbangkan.

“Sebanyak 1,559 kematian dicatatkan membabitkan kanak-kanak di bawah umur 10 tahun dari 2007 hingga 2017. Sokongan daripada pihak swasta dan media amat penting, dalam membantu kerajaan melaksanakan dasar penggunaan CRS dengan berkesan,” katanya.

- BERNAMA
Powered by Blogger.