LHDN keluar panduan 'taxpayer roadmap', perjelas proses pentadbiran cukai pendapatan


Orang ramai kini boleh mendapatkan maklumat lebih lanjut berhubung proses yang terlibat dalam pentadbiran cukai pendapatan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dengan memuat turun panduan ‘Taxpayer Roadmap’ melalui portal rasmi LHDN.

Menurut LHDN dalam satu kenyataan hari ini, panduan itu mengandungi ringkasan prosedur dan proses kerja LHDN dalam aspek undang-undang percukaian, prosedur rayuan, proses audit dan siasatan serta pungutan dan litigasi percukaian.

"Ia dibangunkan bagi memberi jaminan serta meningkatkan kepercayaan pembayar cukai terhadap ketelusan setiap tindakan yang diambil oleh LHDN.

"Taxpayer Roadmap LHDN ini turut membantu setiap pegawai LHDN mengetahui parameter dan hubungan tugas mereka dengan pegawai yang lain seterusnya memudahkan pemantauan status pelaksanaan tugasan serta menambah baik penyampaian perkhidmatan," menurut kenyataan itu.

Panduan itu yang dilancarkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng semasa Persidangan Pengarah-Pengarah Bil 1/2020 pada 13 Jan lepas turut akan dipaparkan di kaunter-kaunter perkhidmatan LHDN.

-- BERNAMA
Powered by Blogger.