'Info on Wheels' platform sampaikan maklumat terkini isu semasa


Kerajaan negeri menerusi Jabatan Penerangan sedang giat melaksanakan program 'Info on Wheels' bagi memberi penerangan dan maklumat terkini berhubung isu semasa di peringkat negeri dan nasional dalam usaha mengekang penyebaran berita tidak benar oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Exco Komunikasi, Multimedia, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Belia dan Sukan Melaka, Kerk Chee Yee berkata antara isu semasa yang diberi penekanan ialah 2019 novel koronavirus yang merupakan isu nasional dan global serta catuan bekalan air yang berlaku di Melaka.

"Info on Wheels ialah antara usaha kita membuat sebaran atau hebahan informasi kepada orang awam tentang maklumat sahih berkaitan sesuatu isu kerana sekarang ini kita berhadapan risiko berita tidak benar sekiranya ia tidak disampaikan dengan betul dan jelas.

"Apa yang kita risau apabila berita tidak benar ini ditularkan banyak masalah akan timbul sehingga menyebabkan rasa tidak selamat dalam kalangan rakyat sekali gus memberi kesan negatif kepada kerajaan negeri dan pusat," katanya kepada pemberita selepas Program 'Info on Wheels' Jabatan Penerangan Melaka di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Penerangan Melaka, Mohd Rizal Hashim dan penolongnya, Nurhasnani Abdul Wahab.

Kerk berkata menerusi platform 'Info on Wheels', maklumat atau penerangan sesuatu isu disampaikan secara turun padang dan bersemuka dengan orang awam berbanding pembukaan kaunter bergerak Jabatan Penerangan di sesetengah kawasan strategik yang dilihat kurang mendapat sambutan.

Beliau berkata kaedah itu juga mempu membina persepsi yang baik terhadap kerajaan sekali gus mempengaruhi pendapat awam serta meyakinkan orang ramai terhadap falsafah, dasar dan wawasan negara.

"Program 'Info on Wheels' akan bergerak di kawasan tumpuan ramai di sekitar negeri Melaka seperti di pasar malam, pasar tani dan pasar raya secara berjadual," katanya.

Mengulas berkaitan respon orang ramai terhadap dua isu yang diperjelaskan dalam ‘Info on Wheels' hari ini iaitu koronavirus dan catuan bekalan air, beliau berkata terdapat beberapa orang awam yang mempunyai pemahaman salah, tidak jelas dan ada antara mereka yang tidak tahu berhubung isu tersebut.

Justeru, katanya orang ramai juga dinasihatkan mendapatkan maklumat terkini dan tepat daripada sumber sahih seperti dari laman sesawang atau media sosial rasmi jabatan atau agensi terlibat selain Jabatan Penerangan dan portal Sebenarnya.my.

"Saya juga ingin menjemput jabatan atau agensi kerajaan negeri di Melaka yang ingin berkolaborasi dengan Jabatan Penerangan bagi menyampaikan maklumat tepat dan sahih terhadap sesuatu menerusi 'Info On Wheels'," katanya.

Sementara itu, Mohd Rizal berkata Program 'Info on Wheels' turut melibatkan penyertaan 62 Komuniti Harapan Malaysia dan pelajar di negeri itu yang berperanan menjadi juru cakap atau duta kecil kepada kerajaan bagi membantu memperjelaskan sesuatu isu supaya rakyat mendapat maklumat yang benar dan sahih.

-- BERNAMA
Powered by Blogger.