Lampu 2019 Tonjol Kepelbagaian Etnik, Budaya Malaysia
Festival Light and Motion
Putrajaya 2019 (LAMPU 2019) di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan kembali
untuk tahun ketujuh dengan konsep kepelbagaian etnik dan budaya Malaysia.
Menteri Wilayah
Persekutuan Khalid Abdul Samad berkata bertemakan "Beautiful
Malaysia", festival itu yang berlangsung bermula malam ini hingga 31 Dis
menekankan kepada aspek perpaduan bertujuan menerapkan penerimaan kepelbagaian
budaya dan etnik sebagai identiti negara.
"Ini merupakan
satu perkara yang wajar kita rasa bangga dan usaha-usaha untuk memecah-belah
dan melaga-lagakan antara kaum di negara ini sewajarnya ditolak," katanya
kepada pemberita selepas melancarkan LAMPU 2019 di Dataran Putrajaya, di sini
malam ini.
Khalid berkata
selain persembahan projektor video di fasad Bangunan Istana Kehakiman, LAMPU
2019 turut menampilkan beberapa tarikan baharu antaranya 'Planetarium 360'.
Katanya struktur
berbentuk kubah berukuran 20 meter radius dan tinggi 10 meter itu dihiasi
pertunjukan visual 360 darjah dengan kesan bunyi yang menarik.
Khalid berkata
tarikan lain di Dataran Putrajaya termasuk Laman Kampung Melayu, China Town
Street, Little India Street, kumpulan muzik jalanan, wayang kulit, wayang
pacak, pemakan api dan aktiviti kanak-kanak.
Buat julung kalinya,
pengunjung juga berpeluang merakamkan ucapan secara swafoto yang akan
dipaparkan pada fasad Bangunan Istana Kehakiman.
Pada malam ambang
tahun baharu 2020 pula, suasana Dataran Putrajaya akan diserikan lagi dengan
persembahan bunga api dan pertunjukan bunga api digital.
Sementara itu,
Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata LAMPU
2019 menyasarkan kehadiran sehingga 1.5 juta pengunjung sepanjang empat malam
festival itu berlangsung.
"Saya harap
orang ramai datang ke Putrajaya, kita saksikan keindahan bandar ini yang
diterangi lampu-lampu dan raikan kepelbagaian budaya di negara ini,"
katanya.
Bagi kemudahan
pengunjung, PPj menyediakan khemah untuk berteduh dan perkhidmatan bas
perantara dari Putrajaya Sentral ke tapak festival secara percuma. - BERNAMA
Post a Comment