Kesan pelancong China, India tinggal lebih masa - Muhyiddin


Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2018 Siri 2 berhubung ketiadaan rekod tarikh keluar lebih 95 peratus pelancong China dan India yang melawat negara ini dari 2016 sehingga tahun lalu.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia selepas selesai mengesan pelancong yang tinggal lebih masa di negara ini.

“Imigresen akan menyusun keberadaan pelancong ini dan tindakan berdasarkan undang-undang akan dikenakan terhadap mereka.

“Kita akan laksanakan penguatkuasaan selepas itu kerana kita mahu pastikan, seseorang yang berada di Malaysia mesti mengikut tempoh ditetapkan Imigresen.

“Kalau sudah melampaui tempoh, memang kita pandang berat perkara ini dan audit pun akan diambil kira untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya selepas majlis Penyerahan Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini, hari ini.

Menurut laporan berkenaan, data ketibaan 79,799 warga China melalui Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs), didapati 76,258 (95.6 peratus) tidak mempunyai rekod tarikh keluar sepanjang 2016 hingga 2018.

Sementara itu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud, berkata berdasarkan semakan semula, jumlah pelancong China yang belum meninggalkan negara adalah 18,341 orang atau 23 peratus, bukannya 95.6 peratus seperti yang dilaporkan.

“Perbezaan mungkin berlaku kerana mereka masuk menggunakan Sistem Maklumat Pendaftaran Pelancong Elektronik (eNTRI), iaitu program pengecualian visa khusus buat warga China dan India.

“Apabila pelancong ini keluar, tiada rekod eNTRI kerana mereka keluar melalui sistem biasa iaitu pas lawatan sosial.

“Selain itu, wujud kelemahan sistem teknikal yang menyebabkan berlakunya perbezaan angka terbabit,” katanya.

Penyerahan projek Kompleks ICQS itu adalah daripada Syarikat Northern Getaway Infrastructure Sdn Bhd (NGISB) sebagai pemaju dan syarikat konsesi kepada KDN.

Projek bernilai RM385 juta itu dibiayai melalui Insentif Pembiayaan Swasta (PFI) dengan tempoh konsesi selama 25 tahun. - BERITA HARIAN
Powered by Blogger.