Semakan wang tidak dituntut secara dalam talian


Semakan Wang Tidak Dituntut (WTD) yang kini berjumlah hampir RM7 bilion boleh dilakukan secara dalam talian selewat-lewatnya awal tahun depan.

Menerusi perisian yang dibangunkan Jabatan Akauntan Negara, ia akan memudahkan orang ramai untuk mengetahui jumlah WTD yang dimiliki, seterusnya membuat tuntutan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah, berkata sehingga kini WTD berjumlah RM6.932 bilion.

“Sehingga 31 Oktober lalu, jumlah serahan WTD yang diterima Jabatan Akauntan Negara adalah RM10.862 bilion, manakala RM2.085 bilion sudah dibayar balik,” katanya pada sesi penggulungan di peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang Perbekalan 2020, di Dewan Rakyat, malam ini.

Amiruddin berkata, WTD selepas 15 tahun akan dimasukkan semula ke Kumpulan Wang dan dimasukkan dalam pindahan hasil negara.

Bagaimanapun, wang berkenaan masih boleh dituntut oleh individu berkenaan dan akan dibayar kerajaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pada masa ini perisian yang dibangunkan Jabatan Akauntan Negara itu sedang dalam ujian akses bagi mengelak sebarang masalah apabila dibuka kepada umum kelak.

Pada masa ini, pengguna boleh membuat semakan WTD di semua pejabat akauntan negeri di seluruh negara.
Powered by Blogger.