Janin ditemui dalam tandas pasar raya


Janin dianggarkan berusia lima hingga enam bulan ditemui dalam sebuah tandas wanita di sebuah pasar raya di Jalan Waterfront 3, di sini, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed, berkata janin itu ditemui orang awam sebelum kejadian itu dilaporkan kepada pihak polis.

Katanya, Pembantu Perubatan dari Hospital Port Dickson (HPD) yang hadir mengesahkan janin dalam keadaan tidak bernyawa.

“Siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah tandas pekerja yang terletak bersebelahan pejabat pasar raya dalam bangunan sama,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Aidi Sham berkata, setakat ini bangsa dan jantina janin belum dapat dikenal pasti dan dihantar ke HPD untuk pemeriksaan lanjut.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan pihaknya sedang berusaha mengesan suspek.

“Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini supaya menghubungi pegawai penyiasat di talian 017-4220322,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.
Powered by Blogger.