KPDNHEP galak lebih banyak syarikat peruncit sertai I-KeeP
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menggalakkn lebih banyak syarikat peruncit di Malaysia mengambil bahagian dalam Inisiatif Kedai Ekonomi Pengguna (I-KeeP).
Timbalan Menterinya Chong Chieng Jen berkata, pelaksanaan I-KeeP merupakan kerjasama strategik kerajaan dengan pihak swasta (syarikat-syarikat rantaian peruncitan dan koperasi).
I-KeeP adalah inisiatif yang menyaksikan pasaraya atau peruncitan menawarkan pelbagai barangan keperluan harian pada harga ekonomi dan munasabah.
“Sejak dilancarkan, inisiatif I-KeeP mendapat sambutan yang sangat mengalakkan dari pengguna yang sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka,” katanya selepas majlis penutupan Karnival Kempen Beli Barangan Malaysia dan Sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil di sini, malam ini.
Setakat ini sehingga April, sejumlah enam syarikat peruncitan dan koperasi telah menjalinkan kerjasama strategik dengan kerajaan, iaitu Tunas Manja Group (TMG), KK Supermart & Superstore Sdn. Bhd. (KK Super Mart), Segi Cash & Carry Sdn. Bhd. (Segi Fresh), Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (D’Mart), Koperasi Orang Melayu Kerajaan Perak Berhad (SKOMK) dan Big Supermart Sdn. Bhd. (BIG Supermart) manakala di Kuching, hanya satu sahaja syarikat peruncit yang mengambil bahagian iaitu Everwin.
Dalam perkembangan yang lain, Chong berkata, karnival selama tiga hari itu dapat menggalakkan lebih ramai pengguna terus menyokong dan membeli barangan buatan Malaysia.
Sebelum ini, beliau dilaporkan berkata banyak produk tempatan berjaya melepasi pasaran antarabangsa setiap tahun, malah, industri pengeluaran menyumbang sekitar 28 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar negara.
-- BERNAMA
Post a Comment