Alvin Chong akan beraksi di Korea Selatan


Pelakon dan penyanyi Alvin Chong mengakui berbesar hati mewakili Malaysia selepas dijemput beraksi di acara berprestij 2019 Asia Song Festival pada 11 dan 12 Oktober ini.

Sekali gus, Alvin, 28, menjadi artis keempat dari Malaysia menjayakan acara yang berlangsung di Ulsan, Korea Selatan itu selepas Rynn Akim pada 2008, Michael Wong (2010) dan Asmidar (2017).

“Ia satu penghormatan besar buat saya apabila dijemput membuat persembahan di Asia Song Festival.

“Saya sudah lama mengimpikan beraksi di pentas itu selepas tahu mengenainya beberapa tahun lalu. Bagaimanapun, sukar untuk saya dapat peluang itu sebelum ini,” katanya.

Alvin yang juga peminat setia muzik K-Pop mengakui tidak sabar untuk merasai sendiri bagaimana pengalaman berkongsi pentas dengan artis dari negara itu.

“Selepas saya jadi artis, saya banyak terpengaruh dengan muzik K-Pop dan menonton secara langsung persembahan Big Bang, 2NE1, EXO, BLACKPINK, dan NU'EST.

“Corak persembahan mereka sangat mengagumkan dan sentiasa mencetuskan inspirasi untuk dijadikan rujukan persembahan saya nanti.

“Terus-terang, saya masih tidak percaya dapat peluang beraksi di acara itu,” katanya.

Alvin bakal berkongsi pentas dengan artis ternama Asia termasuk WINNER dan Eric Nam dari Korea Selatan, VCT (Vietnam), Jannine Weigel (Thailand), BRWN (Filipina) dan Dami Im (Australia). - HARIAN METRO
Powered by Blogger.