Isu harga tanah Kampung Baru dibawa ke Kabinet


Isu tawaran harga untuk mengambil alih dan membeli tanah di Kampung Baru akan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, Rabu ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, berkata beliau akan memaklumkan mengenai perkara itu kepada Kabinet sebelum memikirkan penyelesaian terbaik untuk semua pihak.

Katanya, pada masa yang sama, kajian juga akan dilakukan bagi menilai asas kepada permintaan untuk menaikkan harga tawaran.

“Lusa mesyuarat Kabinet. Kalau saya dapat ruang, saya akan bincang dengan Tun Mahathir, dan daripada situ kita akan fikirkan cara (penyelesaian).

“Memang semua orang mahu harga yang lebih tinggi daripada yang ditawarkan. Kalau kita tawar RM1000 (sekaki persegi), mesti ada yang mahu lebih daripada itu.

“Apa yang kita akan buat, kita akan cari harga yang munasabah, yang memungkinkan projek ini menjadi projek yang berdaya maju. Dan, kita kena ingat, kita akhirnya mahu jual kepada orang Melayu, kita tidak boleh jual dengan harga mahal,” katanya.

Khalid berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan penyerahan bantuan RM150,000 dari Yayasan Wilayah Persekutuan kepada Yayasan Kebajikan Negara untuk Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur, di sini, malam ini.

Ketika ditanya mengenai kritikan dibuat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terhadap nilai ditawarkan kerajaan untuk membeli tanah Kampung Baru, Khalid berkata, Najiblah yang sebenarnya gagal menyelesaikan masalah Kampung Baru.

“Saya tertarik dengan kenyataan beliau (Najib) yang mengatakan dahulu ada enam syarikat penganalisa dan penilai swasta yang bebas, panjang beliau cerita tentang usaha mereka tetapi akhirnya tiada nilai yang ditetapkan.

“Ada enam syarikat penilai, tetapi tiada nilai yang ditawarkan umpama membuang masa, sekarang beliau mengaku tidak pernah buat tawaran, maknanya beliau tidak anggap perkara ini penting.

“Beliau menjadi Perdana Menteri sembilan tahun, takkan dalam tempoh itu syarikat penilai tidak tetapkan nilai, dalam tempoh sama juga tidak pernah buat apa-apa tawaran, kalau betul seperti yang beliau sendiri kata, maknanya beliau gagal dalam menyelesaikan masalah Kampung Baru,” katanya.

Sabtu lalu, BH melaporkan pemilik tanah di Kampung Baru ditawarkan harga RM850 setiap kaki persegi atau RM6 juta bagi lot 8,000 kaki persegi untuk pembangunan semula.

Harga itu tidak termasuk nilaian harga struktur bangunan di atas tanah yang akan dikaji semula oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

Khalid ketika mengumumkan perkara itu berkata, kerajaan menawarkan kadar maksimum berdasarkan penilaian harga dibuat JPPH.
Powered by Blogger.