Food Bank Siswa bakal diperluas ke 123 IPT


Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memperluaskan program Food Bank Siswa ke 123 kampus institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara menjelang 2020.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata Food Bank Siswa itu akan diteruskan ke institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), politeknik dan Institut Pendidikan Guru (IPG) dengan keutamaan kepada penuntut daripada keluarga berpendapatan rendah.

Beliau berkata, pada masa ini Food Bank Siswa sudah dijalankan di 11 Universiti Awam (UA) dan akan dilancarkan di tiga lagi UA pada bulan ini iaitu Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

“Program Food Bank Siswa ini akan diselesaikan di 20 UA terlebih dahulu seterusnya dikembangkan ke institut pengajian tinggi (IPT) lain sebagai suatu usaha bagi menangani kos sara hidup yang dihadapi mahasiswa agar mereka boleh fokus kepada pelajaran masing-masing,” katanya pada sidang media pelancaran pertandingan golf amal Food Bank Malaysia Masters 2019 di sini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Muez Abdul Aziz; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Food Bank Malaysia (YFBM), Ab Wahab Long dan Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA), Datuk Radzali Hassan.

Pertandingan amal anjuran bersama YFBM dan MFA mensasarkan 200 peserta dan akan berlangsung pada 20 hingga 23 September ini di Darulaman Golf & Country Club, Bandar Darulaman, Jitra, Kedah.

Saifuddin berkata, sebanyak RM1 juta kutipan disasarkan melalui pertandingan itu yang kesemuanya akan disumbangkan terus kepada penerima Food Bank Siswa.

Katanya, jumlah dana diterima melalui pertandingan itu adalah sebahagian kos bagi menampung Food Bank Siswa di 123 IPT tahun depan membabitkan dua konsep iaitu ‘food pantry’ dan makanan yang dimasak.

Dalam perkembangan lain beliau menafikan laporan sebuah portal mendakwa kerajaan menangguhkan pelaksanaan program skim subsidi petrol bersasar kerana kekurangan data mengenai kumpulan sasaran selain data isi rumah kumpulan berpendapatan rendah (B40).

Beliau menegaskan program itu akan berjalan mengikut jadual dan pihaknya akan memastikan skim itu akan terlaksana.
Powered by Blogger.