e-hailing motosikal bukan hanya GoJek - Anthony Loke


Konsep perkhidmatan e-panggilan (e-hailing) motosikal diperkenalkan di negara ini tidak tertumpu kepada GoJek semata-mata.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata mana-mana syarikat operator perkhidmatan teksi motosikal, termasuk Dego Ride dibenarkan beroperasi apabila undang-undang sistem pengangkutan awam itu siap dan diluluskan oleh Parlimen.

“Ramai yang keliru dengan isu ini. Kabinet bukan beri kelulusan kepada GoJek semata-mata, tetapi memberi kelulusan konsep perkhidmatan e-hailing motosikal atau teksi motosikal.

“Kalau kita sudah benarkan (lulus di Parlimen) perkhidmatan itu, mana-mana syarikat yang nak beroperasi perlu ikut kerangka undang-undang yang kita sediakan,” katanya kepada media selepas melancarkan buku bertajuk ‘My Journey by Bus’di sini, hari ini.

Anthony Loke berkata, GoJek hanya antara syarikat perkhidmatan e-hailing motosikal dan kementerian juga menggalakkan syarikat tempatan menceburi bidang itu selepas diluluskan.

Isu Gojek menarik perhatian rakyat Malaysia, selepas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan hasrat mahu memperkenalkan perkhidmatan teksi motosikal itu di negara ini.

Rabu lalu, Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof memberitahu media bahawa Jemaah Menteri bersetuju dengan cadangan mewujudkan perkhidmatan GoJek, dan Kabinet memutuskan supaya kajian daripada sudut undang-undang dibuat terlebih dahulu, sebelum boleh dilaksanakan.

Anthony Loke berkata, kementeriannya diberi tempoh sebulan untuk menyediakan kerangka undang-undang itu, termasuk melaksanakan tempoh percubaan sistem berkenaan.

Katanya, kementerian sedang menyediakan kerangka berkenaan dan bagaimana ia dilaksanakan mencakupi proses lesen dan syarat diperlukan.

“Selepas kerangka undang-undang sudah siap nanti, kita perlukan tempoh percubaan untuk perkhidmatan itu.

“Nak tukar (pinda) undang-undang bukan mudah. Kena pergi (bahas) di Parlimen kerana ada keperluan untuk pinda akta berkaitan, termasuk Akta Pengangkutan Darat dan akta-akta lain,” katanya.

Sementara itu, Anthony Loke berkata, Kementerian Pengangkutan tidak berhasrat untuk menaikkan kadar tambang bas henti-henti walaupun ada desakan daripada operator pengangkutan awam itu.

Katanya, kerajaan perlu memikirkan kebajikan golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

“Ada operator bas henti-henti yang memaklumkan saya mengenai kawasan dilalui tidak ramai penumpang dan merugikan dan mahu menaikkan tambang, namun kementerian tidak bersetuju.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kementerian Pengangkutan mahu pemberhentian kemudahan membaharui cukai jalan kenderaan persendirian 2,000 cc ke atas di pejabat pos di Sabah, Sarawak, Langkawi dan Labuan dikaji semula.

“Ini kerana hanya bandar besar, khususnya di Sabah dan Sarawak mempunyai pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang pastinya menyukarkan pembaharuan cukai jalan masyarakat luar bandar,” katanya.
Powered by Blogger.