KKMM nafi terlibat dalam program 'Malaysia Reverts Camp' di Perlis


Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) hari ini menafikan penglibatannya termasuk Jabatan Penerangan dan Jabatan Penyiaran dalam penganjuran program ‘Malaysia Reverts Camp’ yang akan diadakan di Perlis pada 16 hingga 18 Ogos ini, seperti yang tular di media sosial.

Sehubungan itu, KKMM dalam satu kenyataan hari ini meminta pihak penganjur supaya mengeluarkan logo kementerian, Jabatan Penerangan dan Jabatan Penyiaran daripada semua bahan program dan publisiti bagi program tersebut.

"Penggunaan logo-logo rasmi kementerian dan jabatan tanpa kebenaran adalah suatu tindakan tidak beretika dan boleh mengelirukan orang ramai,” katanya.

Kementerian itu juga berharap tiada mana-mana pihak lain melakukan tindakan sedemikian di masa akan datang.

Dilaporkan program tiga hari itu menampilkan pendakwah mualaf tempatan dan antarabangsa antaranya Dr Zakir Naik, Xifu Naser, Shah Kirit, Firdaus Wong, Zamri Vinoth dan Ridhuan Tee dengan pelbagai acara termasuk forum, kuliah, klinik solat, acara khas Mulismah, bengkel pengucapan awam dan pidato, pertandingan tilawah, program bual bicara serta aktiviti sukan dan rekreasi.

-- BERNAMA
Powered by Blogger.