Kerajaan salur bantuan lebih RM17 juta bantu mangsa Taufan Lekima


Mesyuarat Kabinet semalam, bersetuju menyalurkan peruntukan RM 17.025 juta melalui Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) bagi membantu mangsa ribut di beberapa negeri akibat Taufan Lekima, minggu lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata peruntukan terbabit akan digunakan untuk memberi wang ihsan antara RM200 hingga RM500 mengikut tahap kerosakan kediaman mangsa ribut berkenaan.

Beliau berkata peruntukan terbabit juga akan digunakan untuk membiayai perolehan sama ada barangan atau perkhidmatan yang berkaitan dengan kerja membaik pulih kediaman yang rosak.

“Pada peringkat negeri, sebahagian kerja baik pulih kecil sudah disiapkan manakala sebahagian lagi adalah peringkat pengesahan dan anggaran kos baik pulih.

“Kerajaan berharap semua mangsa tabah menghadapi bencana ini dan kerajaan, baik peringkat Persekutuan mahu pun negeri, komited untuk membantu mereka sebaik mungkin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Taufan Lekima yang membadai beberapa negeri di Malaysia menyebabkan 3,601 rumah rosak, selain sekolah, hospital, masjid dan surau sehingga semalam.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, meminta penduduk yang terjejas akibat terkena tempias Taufan Lekima bersabar dan kerajaan akan sedaya upaya menyalurkan bantuan kepada mereka.

Dr Mahathir berkata, rakyat Malaysia bernasib baik kerana kedudukan negara yang terletak antara Indonesia dan Filipina menyebabkannya terlindung daripada angin kencang Lautan Hindi dan tiupan taufan dari Lautan Pasifik.

Katanya, pada masa sama, Malaysia juga tidak mempunyai gunung berapi dan kejadian gempa bumi yang boleh menyebabkan kerosakan lebih teruk seperti yang berlaku di negara lain. - BERITA HARIAN
Powered by Blogger.