Dua lelaki dipercayai penyewa ditahan bunuh pasangan suami isteri


Polis menahan dua lelaki warga asing selepas disyaki terlibat dalam pembunuhan seorang pengurus restoran yang mayatnya disumbat di dalam beg pakaian sebelum dibuang ke dalam parit di Persiaran Kuala Selangor, Seksyen 27 di sini, Isnin lalu. 

Kedua-dua suspek itu ditahan petang tadi di sekitar Kota Kemuning dan Subang Jaya.

Difahamkan, kedua-dua yang ditahan merupakan penyewa rumah kepada pengurus restoran tersebut yang dikenali Tan Siew Mee, 52,.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, soal-siasat terhadap kedua-dua suspek membawa kepada penemuan satu lagi mayat di dalam longkang berhampiran di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Alam Megah, di sini.

Difahamkan mayat tersebut merupakan suami pengurus restoran tersebut dikenali Lim Ah Kee @ Lim Kok Hoe, 79, yang turut ditemukan dalam beg pakaian.

"Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang di sini untuk bedah siasat dan proses pengecaman cap jari dari Jabatan Pendaftaran Negara akan dilakukan terhadap mangsa tersebut bagi pengesahan identitinya.

"Perkembangan lanjut akan akan dimaklumkan dalam sidang akhbar petang esok," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Terdahulu, Baharudin mengesahkan mayat wanita yang ditemui di dalam beg pakaian di Persiaran Kuala Selangor merupakan pengurus restoran di One City, Subang Jaya.

Hasil bedah siasat terhadap mayat dikenali Siew Mee yang berasal dari Pokok Sena, Kedah itu mempunyai 13 kesan tikaman pada bahagian dada dan perut.

Selain itu turut terdapat kesan kelar di bahagian leher dipercayai dengan senjata tajam. - K! ONLINE
Powered by Blogger.