3 maut dalam kemalangan babitkan 4 kenderaan


Tiga maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 269.9 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban di sini, malam ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan, Superintendan Ibrahim Mohd Abdul Kadir, berkata kemalangan membabitkan sebuah lori tangki, sebuah lori membawa muatan tong gas LPG dan dua motosikal.

"Polis menerima maklumat kejadian kira-kira jam 10 malam. Sehingga kini, polis masih menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

"Tiga mangsa disahkan meninggal dunia iaitu penunggang dan pembonceng motosikal serta pemandu lori membawa muatan tong gas," katanya dalam kenyataan malam ini.

Ibrahim berkata laluan ditutup sepenuhnya dan kejadian mengakibatkan kesesakan sejauh lima kilometer.

"Kenderaan dilencongkan masuk ke Tol Ainsdale dan keluar ikut Tol Nilai," katanya.

Sementara itu, Plusline menerusi laman Twitternya melaporkan sehingga jam 10.38 malam ini, kesemua lorong masih terhalang.

Kemalangan itu menyebabkan kesesakan lalu lintas sejauh empat kilometer dari lokasi kejadian.

Plusline turut meminta orang ramai menggunakan laluan alternatif keluar di Plaza Tol Bandar Ainsdale. - BERITA HARIAN
Powered by Blogger.