Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia jalankan soal selidik permintaan jalur lebar
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan menjalankan soal selidik Permintaan Jalur Lebar 2019 bagi pengguna individu, perniagaan dan sektor awam untuk mengumpul data berkaitan permintaan jalur lebar di Malaysia.
Dalam satu kenyataan hari ini, MCMC memaklumkan bahawa hasil soal selidik itu akan digunakan untuk membuat perancangan Pelan Gantian Optik Dan Kesalinghubungan Negara (NFCP).
Menurut suruhanjaya itu, bagi responden individu, soal selidik berkenaan akan dijalankan melalui panggilan telefon dari Pusat CATI MCMC di Cyberjaya bermula hari ini hingga 30 Sept.
“Pungutan data akan dijalankan dari pukul 9 pagi hingga 6 petang setiap hari kecuali pada hari kelepasan am negara dan negeri Selangor,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, bagi responden sektor perniagaan dan sektor awam pula, soal selidik akan dijalankan secara dalam talian dan responden terpilih akan menerima surat rasmi daripada MCMC untuk menyertai soal selidik tersebut.
Responden boleh menjawab soalan di laman sesawang https://survey.skmm.gov.my dan borang kaji selidik yang lengkap hendaklah dihantar secara dalam talian kepada MCMC selewat-lewatnya pada 18 Ogos.
“Adalah dimaklumkan bahawa tujuan soal selidik ini hanya untuk pengumpulan data. Tiada wang akan dikutip mahupun sebarang urusan jualan dilakukan. Penyertaan adalah secara sukarela. Bagaimanapun, kerjasama daripada responden amat kami hargai,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
Post a Comment