Sistem penyampaian perkhidmatan, dimodenkan untuk kemudahan rakyat - KSN


Kerajaan kini sedang giat memodenkan sistem penyampaian perkhidmatan secara digital, melalui konsep kolaborasi pelbagai agensi kerajaan untuk perkhidmatan yang lebih efisien dan pantas, kata Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ismail Bakar.

Katanya, antara usaha yang dilaksanakan adalah perkhidmatan dalam talian portal kerajaan Malaysia (wwww.gov.my) yang memudahkan rakyat berurusan dengan pelbagai agensi kerajaan secara digital dan lancar, walau di mana mereka berada.

“Antara perkhidmatan kerajaan yang disediakan secara digital ialah permohonan bantuan perniagaan, pendidikan, kerjaya, pelancongan dan kebudayaan, perumahan, kewangan dan cukai, imigresen dan visa, kebajikan, keluarga dan masyarakat serta kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ismail berkata kerajaan juga melaksanakan perkhidmatan pembayaran tanpa tunai, bagi urusan pembayaran di kaunter atau secara dalam talian, serta menerusi program dan penggunaan aplikasi pembayaran seperti MyBayar, MyPay dan JomPay.

“Dengan pendigitalan perkhidmatan, kerajaan akan dapat meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam, selari dengan usaha pelaksanaan rasionalisasi kawalan saiz perkhidmatan awam,” katanya.

Pada masa yang sama juga, Ismail berkata usaha meningkatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan sentiasa ditambah baik dengan melancarkan inisiatif seperti Pembaharuan Institusi, Pembaharuan Sektor Awam, pembaharuan fungsi Biro Pengaduan Awam dengan mewujudkan ‘Ombudsman Malaysia’ serta melaksanakan Reformasi Polis, dengan mewujudkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

"Bagi meningkatkan lagi integriti dan urus tadbir penjawat awam, kerajaan memperkenalkan sistem penilaian prestasi, yang kini dikenali sebagai ‘MyPerformance’,” katanya.

Pada masa yang sama, katanya kompentensi penjawat awam sentiasa ditingkatkan melalui program latihan di institusi latihan awam secara konvensional dan usaha digital melalui pembelajaran dalam talian e-Pembelajaran Sektor Awam (www.epsa.gov.my).

Ismail berkata kerajaan juga telah mewujudkan Pasukan Khas Pemudah Cara Perniagaan (Pemudah) yang terdiri daripada gabungan pegawai awam dan wakil industri, bertujuan meningkatkan kerjasama antara agensi-agensi awam dan swasta.

“Bagi memastikan suasana pelaburan yang kondusif dan sentiasa berdaya saing, pelbagai proses kerja terutamanya yang melibatkan permohonan kelulusan agensi teknikal sektor awam, akan dipermudahkan dan dipercepatkan, seperti pengwujudkan sistem elektronik Pusat Setempat bagi permohonan kelulusan pembangunan dikenali sebagai ‘Portal OSC Online’,” katanya.

-- BERNAMA
Powered by Blogger.