10 maut sepanjang tujuh hari Op Selamat di Kelantan




Sebanyak 366 kemalangan melibatkan 10 kematian direkodkan oleh polis Kelantan dalam Op Selamat bermula 29 Mei hingga Selasa lepas.


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kelantan, Supt Markandan Subramaniam berkata, kesemua kes kematian melibatkan empat pemandu kereta, penumpang kereta (dua), penunggang motosikal (satu), penunggang basikal (satu) dan pejalan kaki (dua).



Katanya punca utama kemalangan maut adalah disebabkan terbabas masuk ke laluan kanan dan memotong kenderaan secara berbahaya kerana sikap tidak sabar selain melintas jalan secara tidak cermat bagi mangsa pejalan kaki dan penunggang basikal.



"Daerah yang menyumbang ke arah kemalangan maut adalah Kota Bharu, Pasir Mas, Gua Musang, Kuala Krai, Tanah Merah dan Machang.



"Sepanjang tempoh itu juga sebanyak 6,221 saman pelbagai kesalahan lalu lintas telah dikeluarkan dengan paling ketara adalah kerana memandu laju," katanya ketika dihubungi, hari ini. 



Menurutnya kebanyakan kemalangan maut yang berlaku adalah di kawasan hitam yang sudah dikenal pasti. -BERNAMA
Powered by Blogger.