USIM raih tiga emas dan tiga perak di ITEX 2019


Pasukan penyelidik Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) meraih tiga emas dan tiga perak dalam enam penyertaannya di 'International Invention, Innovation and Technology Exhibition (ITEX) 2019' di Kuala Lumpur Convention Centre pada Rabu lepas hingga semalam.

Menurut kenyataan Pusat Komunikasi Strategik USIM, tiga produk yang mendapat emas itu adalah Gamifikasi Global Halal Game (GHG) dalam Pengajaran dan Pembelajaran yang diketuai oleh Pensyarah Fakulti Syariah Undang-undang, Prof. Madya Dr Azman Ab Rahman; Elev8thor-Modular Lower Limb Elevation System diketuai oleh Pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Dr Asha'ari Bain dan Produk Fast Lab: Science Educational Kit diketuai oleh Pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi, Dr Muhammad Zamir Othman.

Prof. Madya Dr Azman berkata GHG merupakan produk inovasi baharu yang berkonsepkan gamifikasi Islamik papan permainan untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat berkaitan halal dari seawal usia kanak-kanak.

"Ia adalah permainan papan ilmiah yang dibangunkan secara khusus berasaskan sukatan pelajaran pendidikan Islam sekolah rendah dan sekolah menengah dan 'Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia' bagi menerapkan konsep didik hibur dan interaktif dalam pendidikan halal," katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Bagi produk Elev8thor pula ia bukan sahaja berfungsi sebagai alat sokongan yang memudahkan kerja-kerja rawatan dilakukan, tetapi juga boleh meringankan bebanan tugas jururawat ketika memberikan rawatan kepada pesakit.

"Ia terhasil melalui pengamatan semasa merawat pesakit yang mengalami masalah patah tulang kaki di mana ada ketika melihat jururawat dan pembantu pegawai perubatan berhadapan dengan kesukaran semasa mengendalikan pesakit mereka," kata Dr Asha’ari yang juga merupakan Pakar Bedah Ortopedik Hospital Ampang.

Manakala produk inovasi Fast Lab: Science Educational Kit direka untuk memberi pendedahan sains kepada kanak-kanak pada usia muda di samping menarik minat mereka terhadap sains selain menjalani pembelajaran dalam suasana seronok dan interaktif.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USIM Prof Dr Roshada Hashim berkata kejayaan kali ini membuktikan hasil produk penyelidikan dan inovasi kumpulan penyelidik USIM mampu berdaya saing dan berpotensi besar untuk dikomersialkan.

"Ia juga merupakan asas yang kukuh untuk kita terus bergerak ke hadapan ke arah mencapai matlamat menjadi sebuah universiti yang lebih berfokus dan berkualiti," katanya.

Sementara itu, tiga produk penyelidikan lain yang mendapat perak adalah Model Kerjaya Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam kalangan pelatih AADK diketuai oleh Dr Amin Al Haadi Shafie dari Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan bagi membantu pihak AADK melatih kakitangan mereka dalam melaksanakan kaunseling kerjaya kepada pelatih-pelatih di pusat pemulihan.

Selain itu, produk ViTAB (Visual Impairment Tactile Audio Book) Solat diketuai oleh Mohd Nur Adzam Rasdi dari Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah mengetengahkan bahan bantu mengajar yang direka khas untuk proses pembelajaran solat bagi Orang Kurang Upaya (OKU) Penglihatan bersama pasukan penyelidik Ibnu Ummi Maktum (UMMI) dan Prof Madya Dr Madihah Mohd Saudi dari Fakulti Sains dan Teknologi bagi produk 'Ezcybercrime Detection and Response Mobile Apps Prototype for Smartphone' yang berfungsi mengesan jenayah siber pada telefon pintar menyebabkan kehilangan wang, produktiviti dan eksploitasi sistem.

ITEX 2019 mengumpulkan lebih 1,000 reka cipta yang disertai oleh pelbagai universiti, badan-badan korporat serta individu dari pelbagai negara ASEAN dan Asia seperti Australia, Korea dan Taiwan. -- BERNAMA
Powered by Blogger.