TERKINI: Dana Tabung Harapan Malaysia sebanyak RM203 juta akan digunakan untuk membayar hutang 1MDB


Kerajaan melalui siaran media Kementerian Kewangan bertarikh 7 Februari 2019 telah memaklumkan bahawa baki akhir sehingga 14 Januari 2019 iaitu tarikh akhir penerimaan sumbangan ke dalam Tabung Harapan Malaysia (THM) adalah sebanyak RM202,716,775.10.

Selanjutnya, pelaburan simpanan tetap yang ditadbir oleh Jabatan Akauntan Negara telah dilaksanakan dan faedah pelaburan yang diterima sehingga 31 Mac 2019 adalah sebanyak RM575,342.31, menjadikan jumlah terkini akaun amanah THM adalah berjumlah RM203,292,117.41. 

Sebagaimana yang telah dimaklumkan dalam siaran media terdahulu, satu Jawatankuasa Akaun yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan akan memutuskan penggunaan dana dalam akaun amanah ini mengikut tatacara yang termaktub di dalam arahan amanahnya iaitu akan digunakan untuk pembayaran hutang Kerajaan Persekutuan dan pembayaran balik yang perlu dilakukan bagi tujuan akaun amanah ini sahaja.

Ini adalah supaya keputusan berkaitan penggunaan dana THM dilakukan secara profesional dan telus.


Mesyuarat Jawatankuasa Akaun Amanah THM Bil.1/2019 pada 24 April 2019 telah bersetuju memutuskan bahawa kesemua dana dalam THM ini akan digunakan bagi melunaskan sebahagian hutang 1MDB yang berjumlah RM1,704.78 juta bagi tahun 2019 ini.

Meskipun dana THM ini tidak mungkin boleh melangsaikan semua hutang 1MDB sebanyak RM51 Bilion, Tabung Harapan akan kekal menjadi simbol semangat taat setia dan patriotisme rakyat Malaysia untuk melangsaikan hutang negara.


Kerajaan dengan ini ingin sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan buat seluruh rakyat Malaysia yang telah memberikan sumbangan ke dalam THM ini.


Sayangi Malaysiaku!


Lim Guan Eng
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia Putrajaya
16 Mei 2019
Powered by Blogger.