Malaysia terima pengesahan PBB mengenai penarikan diri daripada Statut Rom

Malaysia menerima pengesahan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai penarikan diri daripada instrumen penyertaan Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Notis bertarikh 15 Mei daripada PBB itu dipaparkan di platform media sosial rasmi Wisma Putra hari ini.

Mengikut notis itu, Setiausaha Agung PBB, bertindak atas kapasitinya sebagai depositori, memaklumkan bahawa penarikan diri Malaysia dari instrumen itu berkuat kuasa pada 29 April 2019.

Notis PBB itu juga menyatakan pemberitahuan mengenai penarikan diterima daripada Menteri Luar Malaysia seperti berikut: 

"... Kerajaan Malaysia telah memutuskan untuk menarik instrumen penyertaannya kepada Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa pada 5 April 2019. Oleh itu, Malaysia telah membatalkan surat penyertaannya dan bahawa penarikan diri ini hendaklah berkuat kuasa serta merta.

"Meskipun demikian, Malaysia kekal komited terhadap kedaulatan undang-undang dan untuk mengadili pelaku pembunuhan beramai-ramai, jenayah kemanusiaan, jenayah perang dan jenayah pencerobohan. Ini adalah selaras dengan dasar kerajaan baharu untuk menguatkan prinsip kebenaran, hak asasi manusia, kedaulatan undang-undang, keadilan, tadbir urus yang baik, integriti dan akauntabiliti. "

Semalam, Wisma Putra menyatakan kekecewaan kerana laman web PBB masih menyenaraikan Malaysia sebagai negara yang menyokong triti itu walaupun telah mengemukakan surat penarikan diri.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan keputusan Kabinet bahawa Malaysia menarik diri daripada menyertai Statut Rom ICC pada 5 April

Statut Rom adalah triti atau perjanjian yang mengiktiraf ICC. -BERNAMA
Powered by Blogger.