Siaran analog ditamatkan menjelang Jun
Kementerian Komunikasi dan Multimedia yakin siaran analog dapat ditamatkan sepenuhnya pada suku ketiga tahun ini bagi peralihan kepada siaran digital.
Menterinya, Gobind Singh Deo, berkata proses migrasi analog ke digital itu akan dimulakan pada bulan ini.
Katanya, usaha untuk menamatkan sistem itu dan pelancaran televisyen digital dijangka dapat diselesaikan pada Jun ini.
"Kita dalam proses menamatkan sistem analog untuk membolehkan sistem digital dinikmati sepenuhnya di seluruh negara.
"Tetapi dalam apa juga keadaan, kita percaya sistem analog dapat ditamatkan pada suku ketiga tahun ini," katanya dalam sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang menutup sistem analog di negara ini.
Terdahulu menjawab soalan asal Hasan, Gobind berkata MYTV Broadcasting Sdn Bhd (MYTV) sudah mengagihkan hampir 1.7 juta set dekoder yang diperuntukkan oleh MYTV telah diagihkan kepada isi rumah dalam kategori B40 setakat 30 Mac tahun ini. - Berita Harian
Post a Comment