Pelan Harapan Pembangunan Luar Bandar berjaya dilaksanakan
Pelaksanaan Pelan Harapan Pembangunan Luar Bandar dalam tempoh setahun pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan telah memberi impak menaikkan taraf sosial lebih 500,000 penduduk luar bandar dalam keadaan kekangan kewangan.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Harun berkata pelan yang dirangka untuk tempoh lima tahun bermula 2018 itu memberi penumpuan kepada enam teras iaitu prasarana, ekonomi, keusahawanan, modal insan, wanita dan sistem penyampaian, tetap berjaya dilaksanakan walaupun kerajaan berdepan dengan kekangan kewangan.
"Kami tidak hanya beri fokus pembangunan luar bandar hanya pada infrastruktur tetapi juga dari segi ekonomi, pembangunan modal insan, penggunaan teknologi baharu dan keperluan jangka masa panjang (penduduk luar bandar),” katanya pada sidang media bersempena setahun pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan di sini hari ini.
Rina berkata kementeriannya 'berfikir secara kreatif' apabila menggunakan peruntukan 2019 yang lebih rendah berbanding 2018 seperti melaksanakan sistem industri bangunan (IBS) bagi pembinaan 1,244 unit rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang kosnya 18 peratus lebih menjimatkan tanpa menjejaskan kualiti.
Beberapa program yang sebelum ini dianjurkan secara berasingan, kini dijalankan secara serentak bagi menjimatkan kos serta memberi manfaat yang lebih kepada mereka yang terlibat.
“Kami mahu ramai terlibat oleh itu kami pecahkan mengikut zon-zon bagi Karnival Usahawan Desa dan ia dilaksana bersekali dengan Ekspo Inovasi dan Teknologi Keusahawanan Desa,” katanya.
Rina berkata Dasar Pembangunan Luar Bandar untuk tempoh 10 tahun yang mencakupi 10 teras akan dilancarkan dalam masa terdekat yang pelaksanaannya akan dirasai masyarakat luar bandar.
Sepuluh teras tersebut adalah ekonomi, keusahawanan, modal insan, prasarana, belia, wanita, kehidupan luar bandar yang sejahtera, sistem penyampaian dan tadbir urus, biodiversiti dan alam sekitar serta perumahan pembangunan wilayah dan penempatan desa.
Katanya program Desa Digital akan dilancarkan dalam masa dua bulan lagi yang antara lain bertujuan untuk memastikan penduduk luar bandar mendapat manfaat daripada perkembangan teknologi terkini.
"Kita ada 5G sekarang, mungkin esok lusa kita ada 6G hingga 10G tetapi apa kepentingannya untuk masyarakat luar bandar," katanya, sambil menambah inisiatif Desa Digital tidak hanya memfokuskan kepada pembangunan infrastruktur tetapi juga latihan dan program yang memberi manfaat kepada masyarakat luar bandar.
Rina berkata kementerian juga dalam proses mengenal pasti modul yang sesuai untuk pengurusan sampah di 15,000 kampung di Malaysia.
"Jika di bandar pengurusan sampah dilaksana oleh pihak berkuasa tempatan namun di kampung-kampung kebanyakan penduduk akan membakar sampah mereka, membuang ke dalam sungai atau melakukan pelupusan sampah secara haram yang akan menjejaskan persekitaran alam sekitar," katanya.
Rina berkata beberapa kampung sudah dikenal pasti untuk melaksanakan projek perintis pengurusan sampah kampung yang akan dilaksanakan bermula pada September.
Mengenai pemberian subsidi petrol kepada golongan sasar terutamanya penduduk luar bandar, Rina berharap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dapat mencari kaedah yang sesuai bagi mereka yang tinggal di pedalaman kerana mereka membeli minyak tidak menggunakan kad. -- BERNAMA
Post a Comment