Kertas putih Felda diharap beri harapan baharu kepada peneroka


Kertas Putih Ke Arah Kelestarian Felda yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam, diharap membawa harapan baharu kepada peneroka.

Peneroka Felda Umas 1, Abdul Mumin Abd Rahim berkata kertas putih itu menyenaraikan inti pati penting bagi menyuntik tenaga baharu serta mengoptimumkan potensi melalui pelan jangka pendek, sederhana dan panjang dalam mengembalikan kegemilangan Felda.

"(Ketika ini) sara hidup dibayar lambat, pembayaran di ladang pun lambat, dan pelbagai masalah lain, memang baik apa dibentangkan semalam (kertas putih), lebih daripada durian runtuh. Sejak pengumuman semalam, kami terkejut dengan (aliran tunai) Felda sebegitu selepas didedahkan kerajaan Pakatan Harapan.

“Betul juga, sepatutnya kami (Felda) berpuluh tahun perlu ada untung, tetapi kenapa pula kami (peneroka Felda) semakin lama semakin teruk,” katanya ketika ditemui di Felda Umas yang terletak kira-kira 70 kilometer dari bandar Tawau, hari ini.

Semalam, dalam Kertas Putih dibentangkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali itu mendedahkan aliran tunai Felda berada pada tahap kritikal dan baki tunai merosot daripada purata RM2.5 bilion dalam tempoh 2007 hingga 2011, kepada RM400 juta pada 2017, manakala pada tahun lalu baki tunai terus menjunam sehingga RM35 juta.

Dalam pada itu, Abdul Mumin berharap dengan pelaksanaan segera Kertas Putih tersebut membawa Felda kepada tadbir urus yang lebih berintegriti.

"Harapan kami sebagai generasi pertama di Felda Umas ini, berharap dahulunya (sistem) Felda ini terbaik di dunia dapat dikembalikan...bukan sahaja untuk kami tetapi kepada generasi seterusnya,” kata beliau.

Seorang lagi peneroka Felda Umas 1, Abdul Rashid Abdul Rahman berharap kerajaan dapat menstabilkan kembali keadaan Felda seperti sebelumnya.

“Stabil dan kami mahu pendapatan (sara hidup) itu tidak tergantung-gantung (pembayaran). Kalau boleh RM1,400 itu dinaikkan kepada RM1,900, dan setelah dipotong hutang bolehlah dapat bersih RM1,000," katanya.

Bagi seorang lagi peneroka Felda Umas 1, Muhd Idrus Kijan berharap kerajaan dapat mengambil perhatian terhadap kehidupan peneroka yang susah sekarang.

-- BERNAMA
Powered by Blogger.