Dr Wan Azizah rai 300 pengamal media
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meraikan kira-kira 300 pengamal media dalam satu majlis minum petang, di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Azman Ujang, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Bernama Datuk Mokhtar Hussain dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama Ahmad Fuad Yahya.
Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam ucapannya pada majlis itu berkata, dalam memainkan peranan sebagai penyalur maklumat kepada rakyat, beliau meminta pihak media memahami usaha kerajaan membangunkan negara.
Beliau berkata sebagai sebuah kerajaan yang baru ditubuhkan dalam tempoh hampir setahun, sudah tentu harapan rakyat terhadap Pakatan Harapan (PH) amat tinggi selepas mengambil alih tampuk pemerintahan negara daripada kerajaan terdahulu yang memerintah selama 61 tahun.
"Saya cuma harapkan pemahaman. Kita boleh mengkritik tetapi tengok fakta, kita boleh menyoal tengok kesesuaian. Kuasa datang bersama tanggungjawab yang sangat besar," katanya.
Dr Wan Azizah berkata kerajaan sentiasa menghormati peranan media termasuk dalam membongkar skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan beberapa kes lain, sehingga ada syarikat media yang terpaksa ditutup dan wartawan kehilangan kerja.
"Banyak yang hilang pekerjaan untuk memastikan rakyat disajikan dengan berita-berita yang benar," katanya.
Justeru, Dr Wan Azizah mahu media bekerjasama dengan kerajaan dalam membangunkan negara ke arah Malaysia baharu yang diimpikan rakyat. -- BERNAMA
Post a Comment