6.2 juta penduduk dapat manfaat BA100


Kira-kira 6.2 juta penduduk akan mendapat manfaat menerusi program Barang Asas 100 (BA100) yang menawarkan produk pada harga sehingga 20 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA), Datuk Abdul Fattah Abdullah, berkata BA100 yang memberi faedah kepada ahli koperasi itu akan membabitkan 3,750 rangkaian kedai runcit milik koperasi yang berdaftar dengan ANGKASA.

Katanya, program itu menawarkan produk barangan asas seperti minyak masak dan gula pada harga antara 10 hingga 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran bagi membantu meringankan beban pengguna.

“Buat permulaan, sebanyak 300 koperasi peruncitan sekitar Lembah Klang akan mula melaksanakan program yang akan menggunakan sistem khas dikenali sebagai Barang Asas Retail Platform (BARP) bermula awal Mei depan.

“Sistem ini dibangunkan untuk membantu koperasi peruncitan mendapatkan bekalan barangan asas terus daripada pengilang,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Sudut Laman ANGKASA kepada Koperasi Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tun Abdul Razak di sini, hari ini.

Beliau berkata, semua koperasi peruncitan yang menggunakan sistem ini akan dapat menjana pulangan yang lebih tinggi berbanding sistem konvensional sebelum ini.

Sementara itu, Abdul Fattah berharap kerajaan dapat memberi peluang kepada gerakan koperasi untuk terbabit sama dalam pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Katanya, setakat ini terdapat kira-kira 400 koperasi yang mempunyai kepakaran dalam bidang berkaitan, selain dapat membuka premis perniagaan di setiap stesen ECRL yang akan dibuka nanti.
Powered by Blogger.