Putrajaya takkan pinggirkan Kelantan
Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan PH sama sekali tidak akan meminggirkan Kelantan dalam mengecapi nikmat pembangunan seperti dinikmati negeri-negeri lain.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yakin beberapa agenda akan dapat dirangka bagaimana Kelantan akan dapat menarik pelabur dalam tempoh terdekat yang akhirnya akan dapat memberikan peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini.
"Apa yang penting adalah semangat kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan dapat merealisasikan hasrat untuk membawa kemajuan kepada Kelantan nanti.
"Paling penting bagaimana untuk meningkatkan infrastruktur dan prasarana bagi tujuan untuk menarik pelabur ini dan ini yang perlu kita lihat," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pimpinan PKR Kelantan di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi PKR Kelantan Datuk Seri Supardi Md Noor.
Esok, Azmin selaku Pengerusi Majlis Tindakan Negeri (MTNg) Kelantan, akan mempengerusikan Mesyuarat MTNg Kelantan dan akan membentangkan beberapa kertas cadangan dan pelaksanaan program pembangunan ekonomi negeri ini.
Sementara itu, Azmin juga mengharapkan anak-anak Kelantan yang berjaya di luar negeri ini agar dapat membantu untuk menyumbangkan kepada pembangunan negeri.
"Orang Kelantan mempunyai potensi besar apatah lagi mereka adalah orang yang berjaya di luar Kelantan dan mengharapkan apabila mereka pulang akan dapat menyumbangkan pula idea untuk pembangunan negeri ini.
Sehubungan itu katanya, dalam mesyuarat itu esok, beberapa agenda segera untuk pembangunan diharapkan sudah dapat dirangka terutama untuk meningkatkan jalinan infrastruktur tersebut. - Bernama
Post a Comment