Langganan jalur lebar melonjak 8 kali ganda
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) merekodkan lonjakan lapan kali ganda jumlah langganan jalur lebar talian tetap dengan kelajuan lebih 100Mbps daripada 150,000 pada 2017 kepada 1.2 juta pada tahun lalu.
Dalam satu kenyataan, SKMM menyatakan penyebab utama peningkatan itu ialah pelaksanaan Standard Mandatori Mengenai Harga Capaian (MSAP) yang mengakibatkan harga borong rangkaian turun.
“Ini membolehkan pembekal perkhidmatan internet dalam industri menurunkan harga jualan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi dan pada masa sama meningkatkan kelajuan kesalinghubungan,” katanya.
Langganan jalur lebar di Malaysia, katanya, telah meningkat lebih dua kali ganda sepanjang lima tahun ini untuk mencapai 39.4 juta pada tahun lalu.
“Pertumbuhan langganan jalur lebar mudah alih lebih mencerminkan peningkatan kadar penembusan jalur lebar bagi setiap 100 penduduk daripada hanya 68.3 peratus pada 2014 kepada 121.1 peratus pada 2018, bersamaan dengan 15.4 peratus purata pertumbuhan tahunan,” katanya.
Menurut Kenyataan itu, peningkatan berkenaan dicetuskan capaian liputan 3G dan 4G/LTE yang lebih meluas, kualiti rangkaian yang lebih baik dan peningkatan persaingan dalam pasaran jalur lebar.
Pengerusi SKMM, Al-Ishsal Ishak, berkata kerajaan merancang untuk menyediakan rakyat dengan kesalinghubungan yang lebih baik menerusi Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) yang akan terus merangsang kadar langganan untuk jalur lebar berkelajuan tinggi di seluruh negara.
Pada Februari lalu, Indeks Speedtest Global oleh Ookla melaporkan bahawa kelajuan muat turun jalur lebar talian tetap di Malaysia meningkat lebih tiga kali ganda kepada 70.18 Mbps berbanding 22.26 Mbps pada tahun sebelumnya.
Malaysia menduduki tangga ke-28 di dunia berbanding ke-56 pada 2017 dari aspek kelajuan muat turun jalur lebar talian tetap.
“Selari dengan NFCP, matlamat paling utama ialah untuk menjamin kesalinghubungan digital yang berkualiti dan mampu dimiliki tersedia dengan meluas,” katanya. - Bernama
Post a Comment