Perintah berkurung remaja bawah 18 tahun belum sesuai dilaksanakan


Cadangan perintah berkurung kepada kanak-kanak dan remaja di bawah umur 18 tahun pada waktu malam belum sesuai dilaksanakan, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ini kerana ada beberapa faktor yang tidak membolehkan cadangan itu dilaksanakan pada masa ini.

Katanya, antaranya kerana kebanyakan ibu bapa tiada di rumah kerana melakukan lebih daripada satu kerja bagi menampung kehidupan.

"Selain itu, ada juga keperluan kanak-kanak berada di luar rumah pada waktu malam kerana menghadiri tuisyen, mengikuti aktiviti sukan dan pengajian agama di masjid dan surau.

"Malah, ada kanak-kanak yang bekerja bagi membantu keluarga seperti mana dibenarkan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) untuk mereka yang berumur 15 tahun ke atas," katanya pada sesi Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datin Paduka Dr Tan Yee Kew (PH-PKR Wangsa Maju) yang ingin mengetahui keputusan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berhubung cadangan perintah berkurung yang telah dinyatakan awal tahun ini.

Januari lalu, tersebar di media sosial kononnya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengeluarkan arahan berhubung larangan terhadap kanak-kanak dan remaja di bawah usia 18 tahun berada di luar rumah pada waktu malam.

Kementerian itu dalam satu kenyataan di Facebook memaklumkan maklumat yang tersebar menerusi aplikasi WhatsApp itu adalah palsu dan tidak pernah dikeluarkan.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, berkata perintah berkurung itu juga belum sesuai dilaksanakan kerana Malaysia belum mewajibkan pendidikan sekunder.

Mengulas lanjut, katanya, kerajaan menimbang untuk menjalankan projek rintis bagi perintah berkurung itu di kawasan berisiko tinggi.

Katanya, apa yang lebih penting, ibu bapa sendiri kena bertanggungjawab memastikan anak mereka berada di rumah atau tempat selamat setiap waktu bukan hanya pada waktu malam.

"Tanggungjawab itu tidak seharusnya dialihkan kepada kerajaan semata-mata," katanya. - Berita Harian
Powered by Blogger.