Perdana Menteri lawat kilang, ladang usahawan bumiputera di Kedah


Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengadakan lawatan ke kilang-kilang serta bertemu dengan usahawan-usahawan bumiputera di beberapa tempat di Kedah.

Semasa melawat Oblong Burger Manufacturing Facility di Kampung Cherok Mokkan dekat sini, beliau turut meluangkan masa mengadakan perbincangan tertutup dengan beberapa pengusaha 'food truck' dari beberapa negeri termasuk dari Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Pengarah Urusan Seleraku Trading Sdn Bhd, Zunita Nordin ketika ditemui pemberita selepas pertemuan dengan perdana menteri berkata, peluang bersua muka dengan pemimpin negara itu digunakan untuk menonjolkan keupayaan usahawan bumiputera pada masa ini.

"Sebelum ini kita (usahawan bumiputera) sering dianggap malas dan kurang berusaha, namun kini tidak lagi, semua dah berubah kerana ramai usahawan Melayu khususnya telah berjaya dalam diam. Tun (perdana menteri) juga berpesan supaya kami kembangkan lagi perusahaan kami agar dapat sekaligus meningkatkan tahap sosio ekonomi rakyat setempat," katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri turut melawat ladang tanaman nanas seluas 12 hektar di Bukit Kayu Hitam milik syarikat Bumiputra, Ber One Agro Farm.

Beliau meluangkan masa kira-kira 30 minit mendengar taklimat oleh pemilik syarikat itu, Zulkafli Saidin mengenai ladang berkenaan.

Pagi tadi pula Dr Mahathir meluangkan masa hampir sejam 30 minit melawat Kilang Jus Buah-Buahan milik Nanas Merbok Sdn Bhd di Pusat Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) di Gurun.

Dalam lawatan itu, beliau melihat secara dekat proses membuat jus nanas selain turut diberikan taklimat oleh pihak pengurusan kilang berkenaan berhubung operasi di situ.

Pada semua lawatan itu, Perdana Menteri diiringi bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Tun Daim Zainuddin serta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub. - Bernama
Powered by Blogger.