Malaysia sedia bantu Indonesia


Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menzahirkan rasa simpati dan dukacita kepada mangsa bencana gempa bumi yang melanda Lombok, Indonesia hari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersedia membantu Indonesia.

“Dukacita mendengar khabar berita kejadian tanah runtuh (akibat gempa bumi) di Lombok yang turut mengorbankan rakyat Malaysia. Semoga semua pihak yang terkesan dengan kejadian ini terus sabar dan tabah.

“Kerajaan Malaysia melalui NADMA bersedia untuk membantu Indonesia,” katanya menerusi status di akaun Twitter rasminya malam ini.

Beliau turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Timbalan Ketua Pengarang Sin Chew Daily, Datin Tai Siew Kim, yang terkorban dalam kejadian terbabit.

“Semoga tabah dengan ujian ini,” katanya.

Menteri Hal Ehwa Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, turut melahirkan rasa simpati berhubung bencana terbabit.

“Saya dimaklumkan bahawa terdapat sekumpulan rakyat Malaysia yang berada di sana ketika gempa melanda. Turut berdukacita kerana laporan awal memaklumkan terdapat seorang rakyat Malaysia turut terkorban sementara beberapa yang lain masih hilang akibat bencana terbabit,” kata Mohamed Azmin.

“Saya mengucapkan takziah kepada mangsa terutama warganegara Malaysia yang terbabit dalam tragedi gempa bumi. Saya mendoakan semoga Allah SWT permudahkan urusan menyelamatkan rakyat Malaysia yang dilaporkan masih terperangkap,” kata Mujahid.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dalam status ucapan takziah di Twitternya turut berkongsi tiada pelajar Malaysia terbabit dalam tragedi itu.

“Sedih menerima berita gempa bumi yang melanda Lombok, Nusa Tenggara Barat Tengah. Education Malaysia Indonesia dan Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta telah memaklumkan tiada pelajar Malaysia yang terbabit. - Berita Harian

Powered by Blogger.