Kerajaan timbang penurunan kadar tarif elektrik


Kerajaan menimbangkan untuk menurunkan kadar tarif elektrik di negara ini, susulan penurunan harga arang batu dan gas di pasaran antarabangsa.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata kerajaan sentiasa komited untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat.

"Kerajaan sedang meneliti mengenai perkara itu (cadangan penurunan kadar tarif elektrik). Apa yang penting kita mahu kurangkan beban sara hidup yang ditanggung rakyat ketika ini.

"Bagaimanapun, kita masih belum memuktamadkan mengenainya dan ia akan diusulkan ke Kabinet," katanya selepas melancarkan Program Mentakafulkan Penjawat Awam dan Kerjasama MyCUEPACSCare dan Pos Malaysia Bhd, di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Setiausaha Negara, Dr Datuk Seri Dr Ismail Bakar dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda.

Perdana Menteri berkata demikian ketika ditanya perancangan kerajaan sama ada akan menurunkan kadar tarif elektrik selari dengan kejatuhan harga arang batu dan gas asli di pasaran dunia.

Berdasarkan data terbaharu Tenaga Nasional Bhd (TNB), sebanyak 53 peratus daripada sumber elektrik di Malaysia adalah dijana daripada arang batu, 42 peratus daripada gas asli dan selebihnya berasaskan tenaga hidro dan tenaga boleh diperbaharui (RE).

Menurut laporan Reuters pada 15 Februari lalu, harga gas asli cecair (LNG) Amerika Syarikat (AS) susut lebih 40 peratus sejak Jun tahun lalu kepada AS$6.50 (RM26.50)/MMBtu, terendah sejak September 2017.

Manakala harga kargo arang batu bagi eksport dari Terminal Newcastle Australia menurun bagi sukuan sejak pertengah 2018 kepada bawah AS$90 (RM366) setiap tan buat pertama kali sejak 2017.

Pelarasan kadar tarif dibuat setiap enam bulan berdasarkan kos untuk menjana elektrik.

Badan yang mengawal selia tarif elektrik iaitu Suruhanjaya Tenaga (ST), dengan menggunakan mekanisme Kos Pelepasan Tidak Seimbang (ICPT) bagi tujuan ini.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berkata, kerajaan belum membuat sebarang keputusan mengenai pembelian jet pejuang dari China.

"Itu hanya satu cadangan. Saya belum lagi membuat apa-apa keputusan. Mungkin kita tidak beli terus jet dari China...ada banyak lagi produk lain (dari China) yang boleh dipertimbangkan untuk dibeli," katanya.

Dr Mahathir sebelum ini dipetik sebagai berkata, kerajaan mungkin bertindak balas dengan menghentikan pengimportan barang tertentu dari Eropah jika mereka masih meneruskan sikap tidak adil dan diskriminasi terhadap minyak sawit Malaysia.

Katanya, perkara itu akan dilakukan kerana Eropah dengan secara tidak adil menyekat kemasukan minyak kelapa sawit negara.

Perdana Menteri berkata, Malaysia bukan mahu melancarkan ‘perang’ terhadap barangan dari Eropah kerana masih ada produk dari kesatuan itu yang perlu dibawa masuk, namun ada beberapa barang tertentu akan dibeli dari negara lain kerana Malaysia mempunyai banyak pilihan.

“Kalau kita terpaksa beli pesawat pejuang, kita terpaksalah ambil kira juga pesawat pejuang buatan China. Saya fikir teknologi mereka (China) tidak kurang. Bahkan teknologi China melebihi teknologi Barat sehingga Barat menjadi takut dan tidak benarkan teknologi China masuk ke negara mereka,” katanya. - Berita Harian

Powered by Blogger.