Helikopter terhempas: Tujuh dirakam keterangan, 20 saksi lain dikenal pasti


Polis sudah merakam keterangan tujuh saksi bagi membantu siasatan nahas dua helikopter di Taman Melawati, Ampang Jaya di sini yang mengorbankan dua orang, semalam.


Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata pihaknya sudah mengenal pasti 20 lagi saksi lain yang akan dirakam percakapan mereka dalam masa terdekat.


"Polis masih mencari saksi-saksi lain yang boleh membantu dalam menjalankan siasatan insiden itu.


"Justeru kita meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden supaya tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya untuk membantu siasatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Selain datang terus ke IPD Ampang Jaya, mereka juga boleh menghubungi talian 03-4289 7343 atau 03-4289 7344 untuk menyalurkan maklumat.


Beliau yang dihubungi BH, hari ini memaklumkan keterangan dua mangsa yang terselamat, Datuk Ahmad Jauhari Yahya dan rakannya, Tan Chai Elan akan diambil lagi sekiranya ada keperluan.


"Keterangan mereka sudah dirakam semalam sebelum dihantar ke Hospital Ampang untuk pemeriksaan perubatan. Sekiranya ada keperluan, kita akan menyambung semula proses berkenaan (rakam keterangan)," katanya.


Dalam pada itu, beliau memaklumkan proses bedah siasat terhadap kedua-dua jenazah mangsa yang terkorban di Jabatan Patologi Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) diketuai Profesor Dr Faridah Mohd Nor sudah selesai dijalankan.


"Bedah siasat pertama ke atas jenazah Kolonel (B) Mohamamed Sabri Baharom (juruterbang) selesai dijalankan pada jam 11 pagi, manakala bedah siasat ke atas jenazah Mohd Irfan Fikri Mohamed Rawi (penumpang) selesai pada jam 1 tengah hari.


"Kedua-dua jenazah telah diserahkan kepada waris masing-masing untuk dikebumikan," kata beliau.


Tambahnya, keputusan penuh hasil bedah siasat akan dikemukakan setelah mendapat laporan penuh makmal.


Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi semalam, Mohd Sabri, 56, dan Mohd Irfan Fikri, 41, disahkan terkorban.


Kedua-dua mangsa yang menaiki helikopter dua tempat duduk jenis Guimbal Cabri G2 (G2CA) serta sebuah lagi helikopter jenis sama dipandu Ahmad Jauhari Yahya, 66, dan rakannya, Chai Elan, 56, dikatakan dalam perjalanan dari Subang ke Genting Sempah.


Bagaimanapun, berlaku pelanggaran di antara kedua-dua helikopter di udara sebelum satu daripadanya terhempas manakala sebuah lagi helikopter membuat pendaratan cemas di sebuah padang berhampiran. - BERITA HARIAN

Powered by Blogger.