Penuntut kolej didakwa bunuh bayi perempuan


Seorang penuntut kolej yang mencampak bayi perempuannya dari tingkat 13 sebuah pangsapuri, didakwa di Hospital Pulau Pinang di sini, hari ini, atas tuduhan membunuh.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang berusia 18 tahun kerana ia di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, wanita itu didakwa menyebabkan kematian seorang bayi perempuan di laluan ke kawasan parkir di aras empat Pangsapuri Sri Ivory, Air Itam, di sini jam 8.25 pagi, pada 10 Julai lalu.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Majistret Nur Fadrina Zulkhairi kemudian menetapkan 14 Ogos ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan patologi.

Pada prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yazid Mustaqim Roslan, manakala tertuduh diwakili peguam R S N Rayer.

Pendakwaan dilakukan di Hospital Pulau Pinang (HPP) kerana tertuduh masih dirawat.

Sebelum ini, media melaporkan tertuduh mendakwa terjaga pada jam 6 pagi kerana sakit perut sebelum ke tandas namun ketika hendak membuang air besar, dia tiba-tiba melahirkan bayi perempuan itu kira-kira jam 7 pagi.

Selepas mendengar tangisan bayi itu, wanita berkenaan membungkus anaknya dengan baju T dan mencampakkan bayi terbabit dari tingkap biliknya sebelum ditemui orang awam di tingkat empat kawasan parkir. - BERITA HARIAN
Powered by Blogger.