COVID-19: Kluster baharu dikesan di Sarawak - Dr Noor Hisham


Kementerian Kesihatan mengesan satu lagi kluster baharu COVID-19 melibatkan sebuah syarikat di Mambong, Sarawak, kata Ketua Pengarahnya Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau menjelaskan sehingga kini terdapat dua kes positif dilaporkan di kluster itu, satu daripadanya melibatkan warga asing.

"Kes indeks (kes ke-8,732) daripada kluster ini mengalami gejala sejak 12 Julai dan dikesan positif pada 14 Julai di sebuah pusat perubatan di Sarawak.

"Seramai 70 individu telah dikenal pasti dan disaring dengan dua kes dilaporkan positif manakala 68 individu lagi masih menunggu keputusan. Punca jangkitan kluster ini masih dalam siasatan," katanya dalam sidang media mengenai perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Menurutnya sehingga hari ini terdapat 14 kes aktif kluster COVID-19 dikesan dalam negara.

Sementara itu merujuk kepada kes positif semalam yang melibatkan pekerja kesihatan di Sarawak, Dr Noor Hisham mengesahkan bahawa jururawat itu dijangkiti semasa dia menguruskan seorang pesakit COVID-19.

Beliau menjelaskan bahawa jururawat itu telah menjalani saringan COVID-19 sebaik sahaja dia mendapati pesakit itu disahkan positif dengan virus berkenaan.

Ditanya mengenai cadangan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) kepada Kementerian Kesihatan untuk mengeluarkan senarai pengeluar “rapid test kit antigen” (RTK-Ag), Dr Noor Hisham berkata pihak kementerian akan berurusan terus dengan persatuan itu.

"Kita sebenarnya tidak mempromosi syarikat-syarikat ini.. jika kita buat promosi, syarikat-syarikat lain akan mempersoalkannya, supaya mereka juga dipromosi. Bagi menjadi lebih telus, kami akan berurusan terus dengan persatuan itu," katanya.

-- BERNAMA
Powered by Blogger.