Kerajaan Tidak Jual PLUS, Kadar Tol Dikurangkan 18 Peratus - PM


Kerajaan tidak akan menjual Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) Malaysia Berhad tetapi telah memutuskan untuk mengurangkan kadar tol sebanyak 18 peratus, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata PLUS, syarikat konsesi lebuh raya terbesar di negara ini, akan kekal bersama Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pengurangan kadar tol akan bermula tahun ini.

Beliau berkata ia adalah keputusan terbaik selepas mempertimbangkan pandangan dari banyak pihak termasuk Kabinet.

“Kita telah mengkaji semua tawaran yang dibuat oleh sektor swasta dan juga oleh Khazanah dan pada akhirnya, kita memutuskan bahawa cara terbaik bukan untuk menjual PLUS kepada sesiapa tetapi untuk mengekalkannya dengan Khazanah dan KWSP," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kompleks Balai Islam An-Nur di ibu pejabat Tenaga Nasional Bhd (TNB), di sini semalam.

"Mereka perlu mengurangkan kadar tol sebanyak 18 peratus tetapi harus di ingat bahawa 18 peratus ini ditetapkan pada kadar hari ini yang bermakna dalam masa 30 tahun, kadar tol akan sangat rendah," katanya.

Khazanah memiliki kepentingan 51 peratus dalam PLUS manakala KWSP memegang baki 49 peratus.

Dr Mahathir berkata pengurangan 18 peratus akan bermula pada tahun ini tetapi tidak memberikan butiran.

Menjawab soalan lain, beliau berkata jumlah trafik pada tahun-tahun akan datang boleh meningkat tetapi ini tidak mungkin berlaku untuk kuasa beli ringgit, yang bermaksud bahawa "apa yang mereka (pemegang konsesi) mendapat selepas itu tidak sebesar orang anggap mereka akan buat ".

"Kerana kita menetapkannya pada kadar sekarang, dan ia akan menjadi kadar rata, tolak 18 peratus. Ini bermakna walaupun trafik mungkin tumbuh, pendapatan tidak akan sebesar konsesi asal, "katanya.

Dr Mahathir berkata rakyat akan mendapat faedah dari segi kos lebih murah kerana kadar tol yang berkurang. - BERNAMA
Powered by Blogger.