RFID Di 62 Lagi Plaza Tol Mulai 1 Januari


Kementerian Kerja Raya akan memperluas pelaksanaan kutipan tol menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di 62 plaza tol membabitkan 24 lebuh raya sistem tol terbuka bagi kenderaan kelas satu sebagai pilihan mod pembayaran mulai 1 Januari depan.
Antara lebuh raya yang menawarkan RFID ialah Lebuh Raya Utara Selatan (Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar; Kempas; Jitra), Lebuh Raya Shah Alam, Lebuh Raya Lingkaran Kajang dan Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth.
Dalam kenyataan hari ini, kementerian itu berkata, pengenalan teknologi berkenaan ialah langkah awal ke arah Sistem Kutipan Tol Tanpa Henti di lebuh raya dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan bayaran tol pada masa akan datang.
“Pelaksanaan ujian rintis RFID diadakan di plaza tol terpilih mulai 2018 dan mendapat respons positif daripada pengguna lebuh raya. Sehingga kini, jumlah pengguna RFID mencecah lebih 830,000 pengguna,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan RFID dijangka dapat melancarkan aliran trafik di lorong tol memandangkan pengguna tidak perlu berhenti untuk menyentuh kad di ‘reader’ selain tiada kos penyelenggaraan kerana tidak memerlukan bateri.
Sistem RFID menggunakan pelekat yang dihubungkan dengan Touch ‘n Go e-wallet memudahkan orang ramai membuat tambah nilai secara dalam talian tanpa perlu ke pusat khidmat pelanggan atau tempat tambah nilai, kata kenyataan itu.
Untuk maklumat lanjut mengenai RFID, orang ramai boleh melayari https://rfid.touchngo.com.my/. – BERNAMA
Powered by Blogger.