Vida mohon maaf kepada Aishah kes hadiah berlian


Jutawan kosmetik, Datuk Seri Vida membuat permohonan maaf kepada penyanyi Aishah pada satu sidang akhbar khas di kediamannya di Ipoh di sini hari ini.

Vida atau nama sebenarnya, Hasmiza Othman, 46, membacakan permohonan maaf secara terbuka seperti yang termaktub dalam keputusan bersama ketika sesi mediasi yang berlangsung di Mahkamah Sesyen Sivil 11 Kuala Lumpur pada Rabu lalu.

Kejayaan sesi mediasi itu bermaksud tiada perbicaraan penuh yang akan berlangsung di mahkamah berikutan kedua-dua pihak berjaya mencari jalan penyelesaian.

Kes ini susulan kemenangan Aishah atau nama sebenarnya, Wan Aishah Wan Ariffin, 54, pada program realiti Gegar Vaganza 4 yang mendakwa Vida memberi hadiah kemenangan tempat pertamanya seutas gelang palsu.

Rentetan daripada itu, sengketa antara mereka berpanjangan sehinggalah penyanyi lagu Janji Manismu ini membuat keputusan membawa kes ini ke mahkamah dan berlarutan selama setahun.

Sebelum ini Aishah telah mengadakan sidang akhbar memaklumkan bahawa Vida akan membayar harga barang kemas yang dipilihnya berjumlah RM80,000 dan melakukan permohonan maaf secara terbuka terhadap dirinya sebelum atau pada 17 Julai ini.

Pada masa sama, Vida perlu membayar kos sebanyak RM7,500 kepada peguamcara Aishah.

Sementara itu, pada sesi sidang akhbar Vida yang turut dihadiri peguamnya, Zailan Mohamed, jutawan kosmetik itu melahirkan kesyukuran apabila kemelut berkenaan diselesaikan secara baik.

Cuma beliau merasa terguris hati apabila hasrat untuk mengadakan sidang akhbar bersama Aishah sepertimana yang dipersetujui tidak berlaku apabila penyanyi itu tampil melakukan bersama peguamnya.

Vida bagaimana pun menganggap perkara berkenaan selesai dan tidak mahu ia berpanjangan.

“Saya tidak mahu panjangkan cerita, lagi pun tiada istilah menang kalah kerana ia persetujuan bersama kedua-dua pihak.

“Saya juga telah sempurnakan tiga syarat yang diminta, kalau jika ada benda yang terkilan (pada pihak saya), kita maafkan. Saya mahu ia berakhir dengan kegembiraan,” ujarnya.

Dalam pada itu, berlaku kejutan pada akhir sesi sidang akhbar berkenaan apabila anak perempuan Vida, Cik B bangun menghampiri ibunya lalu menghulurkan bungkusan berisi wang.

Kata Cik B atau nama sebenarnya Nur Edlynn Zamileen, wang RM100,000 hasil jualan produknya iaitu cip ikan salmon adalah bagi membantu meringankan beban ibunya.

“Sedih juga apa yang berlaku pada Mama. Insyallah, Mama pun banyak tolong jadi Cik B tak kisah kerana yakin ada rezeki lain,” katanya. 

- UTUSAN ONLINE
Powered by Blogger.