KKMM rangka polisi berteraskan teknologi, lahirkan tenaga kerja seiring perkembangan IR 4.0




Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sedang merangka satu polisi berteraskan teknologi untuk diterapkan di semua sekolah sebagai usaha melahirkan tenaga kerja yang seiring dengan perkembangan era digital dan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) pada masa depan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata polisi seumpama itu dilihat perlu diwujudkan berikutan terdapatnya keperluan tertentu pada masa kini yang harus diperhalusi demi mendepani pelbagai cabaran dalam era teknologi baharu pada tahun mendatang.

Beliau berkata buat masa ini, terdapat sesi pembelajaran telah dimulakan di beberapa sekolah oleh agensi berkaitan iaitu Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) seperti pengaturcaraan komputer, ‘Artificial Intelligence’, robotik dan sebagainya.

Mengambil contoh Kolej Institut Teknologi Pekerja (WIT) di sini yang telah melahirkan ramai tenaga kerja berkaitan kemahiran, beliau berkata MDEC disaran supaya mendekati kolej-kolej vokasional dalam meneliti persediaan pelajarnya untuk menjadi tenaga kerja yang memenuhi kehendak IR 4.0 dan perkembangan teknologi.

“Kita dalam proses merangka polisi berkaitan tenaga kerja dan teknologi yang akan diterapkan di semua sekolah termasuk sekolah vokasional, sekolah kemahiran dan sebagainya pada masa depan.

“Seperti Kolej WIT, sekiranya kita boleh bekerjasama, maka keperluan-keperluan (berkaitan teknologi baharu dan IR 4.0) dapat diperhalusi dan kita akan kemukakan cadangan mengenainya semasa proses merangka polisi tersebut sebelum dikemukakan kepada Kabinet kelak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dewan Dr V David kolej berkenaan, di sini hari ini.

Beliau berkata selain kementeriannya, terdapat beberapa kementerian lain antaranya Kementerian Pendidikan, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Belia dan Sukan turut sama memberi fokus kepada usaha tersebut.

Ditanya mengenai jangkaan untuk membentangkan cadangan polisi itu kepada Kabinet, Gobind berkata belum ada tempoh tertentu ditetapkan kerana buat masa ini, KKMM masih mengumpul maklum balas dan maklumat daripada pelbagai pihak berkaitan. - BERNAMA
Powered by Blogger.