Di Mana Kan Ku Cari Pengganti Lee Chong Wei
Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mengumumkan persaraannya
pada usia 37 tahun dengan menegaskan dia perlu mengutamakan
kesihatannya.
Keputusan menggantung raket itu diumumkannya
dalam sidang media khas di pejabat Kementerian Belia dan Sukan semalam
dengan dia juga dilihat mengalirkan air mata ketika berucap.
Jelas
bekas pemain nombor satu dunia itu, ia adalah keputusan paling sukar
pernah dibuatnya, namun selepas berfikir panjang termasuk mendapatkan
pandangan isterinya Datin Wong Mew Choo.
"Saya ada ke
Taiwan pada April lalu dan doktor yang merawat saya merasakan tidak
sesuai lagi untuk saya meneruskan latihan dengan intensiti tinggi.
"Jadi
selepas pulang saya mengambil masa selama sebulan untuk memikirkan
mengenainya sebelum saya membuat keputusan untuk bertemu Menteri Belia
dan Sukan (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Presiden BAM (Datuk Seri
Mohamad Norza Zakaria) bagi meminta pandangan mereka.
"Saya
akhirnya membuat keputusan untuk menggantung raket selepas sambutan
Aidilfitri tempoh hari, ia adalah keputusan berat untuk saya tetapi apa
yang paling penting adalah isu kesihatan saya," katanya.
Chong
Wei ditemani Syed Saddiq, Norza dan juga Timbalan Menteri Belia dan
Sukan, Steven Sim Chee Keong ketika menyampaikan pengumuman berkenaan.
Malah,
Syed Saddiq juga dilihat beberapa kali menyeka Chong Wei yang kelihatan
tidak dapat menahan sebak selepas menamatkan karier profesionalnya
selama 19 tahun dalam sukan bulu tangkis.
Selain daripada
menghimpun koleksi tiga pingat perak Sukan Olimpik (2008, 2012 dan 2016)
dan tiga kali muncul sebagai naib juara dunia (2011, 2013 dan 2015),
Chong Wei juga muncul sebagai satu-satunya pemenang terbanyak gelaran
Super Series sebanyak 46 kali.
Terdahulu khabar angin mula bertiup kencang yang mengatakan pemain berusia 37 tahun itu akan mengumumkan persaraan.
Spekulasi
semakin hangat apabila Chong Wei dikatakan sudah sebulan tidak
menjalani latihan sejak mengambil cuti pada hujung April lalu bagi
menjalani pemeriksaan susulan di Taiwan. -BERITA HARIAN
Post a Comment